Suspek ditahan di Paris tiada kaitan kes Khashoggi, kata Arab Saudi


Arab Saudi menjatuhkan hukuman penjara kepada semua individu terlibat dalam pembunuhan Jamal Khashoggi. – Gambar AFP, 8 Disember, 2021.

KEDUTAAN Arab Saudi di Paris berkata pada Selasa rakyatnya yang ditahan sebagai suspek pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi pada 2018 tiada kaitan dengan kes itu.

Polis Perancis pada awal Selasa menahan seorang lelaki yang disyaki menjadi anggota skuad pembunuh Khashoggi di konsulat kerajaan di Istanbul, dan penyiasat sedang berusaha untuk mengesahkan individu menggunakan nama Khalid Alotaibi semememangnya mempunyai kaitan.

“Individu ditahan itu tiada kaitan dengan kes berkenaan,” kata kedutaan Arab Sabtu dalam satu kenyataan. 

“Oleh itu, kedutaan kerajaan mengharapkan pembebasannya segera”.

Kedutaan berkata badan kehakiman Arab Saudi sudah mengeluarkan keputusan terhadap kesemua yang ada kaitan dengan pembunuhan Jamal Khashoggi dan mereka sedang menjalani hukuman.

Pada September 2020, mahkamah Arab Saudi membatalkan lima hukuman mati yang dikeluarkan selepas perbicaraan tertutup di sana, sebaliknya menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun kepada tertuduh.

Di Perancis, siasatan masih dijalankan pada petang Selasa untuk memastikan polis menahan lelaki yang betul, kata sumber yang hampir dengan kes itu dan memaklumkan penahanan itu boleh berlanjutan sehingga 48 jam. – AFP,  8 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen