Pedang Napoleon dilelong AS$2.8 juta


Pedang yang pernah digunakan Napoleon ketika melakukan rampasan kuasa di Perancis. – Gambar AFP, 8 Disember, 2021.

PEDANG yang dibawa oleh Napoleon Bonaparte ketika melakukan rampasan kuasa pada 1799 dan lima senjata apinya yang lain dijual dalam lelongan dengan harga lebih AS$2.8 juta, umum pelelong Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.

Barangan itu dijual oleh Syarikat Lelong Rock Island yang berpangkalan di Illinois, terjual pada 3 Disember melalui telefon kepada pembeli tidak dikenali, kata presiden syarikat Kevin Hogan kepada AFP.

Pedang dan lima pistol itu pada mulanya bernilai AS$1.5 juta hingga AS$3.5 juta.

Dengan jualan AS$2.87 juta, “pembeli Napoleon Garniture membawa pulang cebisan sejarah yang luar biasa”,  kata Hogan.

Pedang bersarung itu adalah aset paling berharga bagi koleksi berkenaan, menurut syarikat lelong.

Senjata itu dibuat oleh Nicolas-Noel Boutet, yang merupakan pengarah kilang senjata di Versailles.

Selepas dinobatkan sebagai maharaja, Napoleon dipercayai menyerahkan pedang itu kepada jeneral Jean-Andoche Junot, tetapi isteri jeneral itu kemudian terpaksa menjualnya untuk membayar hutang.

Ia kemudiannya ditemui oleh muzium London. Seorang pengumpul AS adalah pemilik terakhirnya yang meninggal dunia baru-baru ini, menurut rumah lelong. – AFP, 8 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen