Penyokong berkumpul di kediaman Najib


Elill Easwaran

Sekumpulan kecil penyokong Najib Razak dilihat berkumpul di kediaman bekas perdana menteri itu di Jalan Duta kira-kira jam 8 malam tadi sebagai solidariti. – Gambar The Malaysian Insight, 7 Disember, 2021.

SEKUMPULAN kecil penyokong Najib Razak dilihat berkumpul di kediaman bekas perdana menteri itu di Jalan Duta kira-kira jam 8 malam tadi atau solat hajat menjelang keputusan kes pengubahan wang haram oleh Mahkamah Rayuan pagi esok.

Mereka adalah antara penyokong Najib dari seluruh negara yang mengadakan solat hajat malam ini sebagai solidariti terhadap pemimpin mereka.

Menurut salah seorang yang ditemui The Malaysian Insight, mereka yang hadir pulang pada jam 9 malam.

Bagaimanapun Najib tidak hadir kerana berada dalam kuarantin sendiri di kediaman lain di ibu negara.

Dalam satu hantaran di Facebook Najib berkata beliau akan membaca surah Yassin dan doa secara maya kerana sedang menjalani kuarantin kendiri.

“Saya menerima banyak mesej, dapat panggilan, dan ada baca banyak posting dan komen-komen kat FB yang memberikan kata-kata sokongan dan doa juga,” katanya menerusi Facebooknya

Terdahulu hari ini Mahkamah Rayuan menolak permohonan saat akhir Najib Razak untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC International, mengumumkan keputusan rayuan terhadap sabitan kesalahannya akan ditentukan pagi esok.

Hakim menetapkan untuk memutuskan esok sama ada untuk mengekalkan atau membatalkan sabitan Najib atas pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan penyalahgunaan kuasa berhubung RM42 juta dana milik SRC International.

Pada Julai tahun lepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap satu daripada tiga pertuduhan CBT dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi satu pertuduhan salah guna kuasa.

Beliau kemudian membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuannya diselesaikan. Ikat jamin dibenarkan RM2 juta dengan dua penjamin. – 7 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen