Azmin nafi dakwaan bawa keluarga ke London guna dana MITI


Chan Kok Leong

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Mohamed Azmin Ali menafikan membawa keluarganya ke London semasa misi perdagangan pada Oktober. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2021.

MENTERI Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Mohamed Azmin Ali menafikan membawa keluarganya ke London semasa misi perdagangan pada Oktober.

“Saya difahamkan Jelutong (RSN Rayer) cuba mengalih tumpuan. Saya bagaimanapun boleh menjawab isu ini,” kata Azmin semasa ucapan penggulungan kementeriannya mengenai Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (peringkat jawatankuasa) di Parlimen hari ini.

“Sebelum misi perdagangan ini diluluskan, ia mesti dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Kabinet.

“Setiap perincian, senarai delegasi, jumlah peruntukan, perbelanjaan dan destinasi itu semua diperincikan dan telah diluluskan Jemaah Kabinet mengikut peraturan dan tatacara kewangan.

“Oleh itu saya menafikan dakwaan Jelutong,” kata ahli Parlimen Gombak.

Azmin menjawab soalan Rayer yang bertanya sama ada MITI membayar percutian keluarga Azmin di United Kingdom.

Dilaporkan bulan lalu tular di media sosial meme yang mendakwa Azmin membelanjakan £37,023 (RM207,712) di sebuah restoran mewah di London. 

Meme itu menunjukkan gambar Nusr-Et Steakhouse di London bersama gambar Azmin beserta resit bayaran.

Pegawai Azmin menafikan gambar itu dan berkata ia adalah cubaan memburukkan imejnya. – 7 Disember, 2021. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen