Pembangkang Sarawak dakwa SOP PRN direka untuk menangkan GPS


Desmond Davidson

Pengarah pilihan raya negeri PKR Dominique Ng berkata susah untuk pembangkang berkempen sedangkan kerajaan ada jentera yang cukup untuk mendekati pengundi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2021.

PEMBANGKANG Sarawak mendakwa prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 direka bagi memudahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang.

Pengerusi DAP negeri Chong Chieng Jen mendakwa ia direka “untuk memberi kelebihan maksimum” kepada GPS yang memerintah.

Pengarah pilihan raya negeri PKR Dominique Ng berkata SOP itu tidak menyediakan padang yang sama rata.

Bagaimanapun dakwaan mereka itu dinafikan oleh Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Hamzah yang berkata SOP tersebut telah didedahkan semasa PRN Melaka dan pembangkang tidak menyuarakan pendapat mereka ketika itu.

Chong yang akan bertanding di Padungan menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan “pilihan raya yang tidak wajar dan tidak adil” dengan mengeluarkan SOP seperti itu.

SOP yang dikeluarkan pada Ahad menjelang penamaan calon itu sebahagian besarnya disesuaikan berdasarkan SOP PRN Melaka bulan lepas.

Satu ciri yang terdapat dalam kedua-dua SOP Melaka dan Sarawak, larangan mengadakan ceramah dan berkempen secara bersemuka yang kononnya bagi membendung penularan Covid-19.

Kebanyakan parti berkata larangan itu mengehadkan peluang mereka untuk mendekati pengundi.

Larangan itu bagaimanapun tidak terpakai di 64 daripada 82 kawasan pilihan raya di Sarawak yang tidak ada perkhidmatan internet yang bagus.

Chong mengambil contoh SOP yang memerlukan ceramah diadakan di dalam rumah, di balai raya kampung atau di rumah panjang.

Beliau berkata pakar kesihatan “akan memberitahu anda” virus itu akan lebih mudah merebak di kawasan tertutup berbanding kawasan terbuka seperti di luar rumah.

“Ia lebih menular di dalam rumah daripada di luar. SOP itu bukan untuk membendung virus tetapi untuk membendung pembangkang.”

Beliau menyindir mustahil untuk buat ceramah di kawasan kampung jika ceramah perlu dibuat di dalam rumah.

Chong berkata balai raya berada di bawah kawalan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang dilantik kerajaan, jadi pembangkang acap kali sukar untuk menyewa dewan itu untuk tujuan politik.

“Pembangkang tidak boleh sekali-kali menyewa balai raya untuk buat sebarang majlis.”

Seramai 349 calon akan berentap dalam PRN Sarawak pada 18 Disember ini untuk 82 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Mengenai sekatan ke atas cara lama berkempen dengan bertemu pengundi secara bersemuka, Ng berkata ia sudah tentu tidak menguntungkan pembangkang.

“Kita tidak boleh berkempen bersemuka sedangkan kerajaan masih boleh berbuat demikian melalui media rasmi,” katanya merujuk kepada kawalan kerajaan ke atas stesen radio dan televisyen.

Beliau turut menyelar SOP yang melarang pekerja kempen dari luar Sarawak menyertai pilihan raya.

Sudah tentu PKR akan terkesan dengan peraturan itu, kata Ng.

Ng merupakan Adun pertama PKR apabila menang di kawasan Padungan pada pilihan raya 2006. – 7 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen