Ketepi soal agama, saya ingin bertemu anak, kata Indira


Noel Achariam

M Indira Gandhi bersama anak lelakinya Karan semasa tayangan filem di Petaling Jaya pada September lalu. Indira menghormati agama dianuti anak perempuannya, Prasana Diksa yang terpisah sejak sembilan tahun lalu dan bersedia menerima siapapun dia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2018.

M Indira Gandhi mahu mengetepikan isu agama anak perempuan bongsunya, Prasana Diksa, dan sebaliknya teringin untuk bertemu anak yang terpisah sejak sembilan tahun lalu.

Satu-satunya yang menjadi keutamaan sekarang adalah untuk bertemu Prasana dan memastikan kebajikan anaknya itu, katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kami terpisah sejak sekian lama dan saya tahu dia seorang Islam sekarang. Saya menghormati keputusannya, tetapi sebagai seorang ibu saya ingin bertemu dan memeluknya.

“Kami tidak tahu apa yang berlaku kepadanya dan tidak tahu bagaimana wajahnya sekarang. Bagi saya, melihatnya sekarang lebih penting.

“Mari kita ketepikan soal agamanya dahulu, kerana saya bersedia menerima siapapun dia,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Indira mengulas mengenai Persatuan Orang Islam Malaysia (PUM) yang memberi amaran keganasan agama mungkin meletus di negara ini jika polis terus memburu bekas suami dan anaknya.

PUM menyiarkan satu kenyataan di Facebook, mendesak polis agar berhenti mencari Muhammad Riduan Abdullah (bekas suami Indira) dan Prasana, selepas Mahkamah Persekutuan pada Isnin memutuskan penukaran agama tiga anak Indira kepada Islam adalah tidak sah dan terbatal.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata polis masih tidak memperoleh sebarang petunjuk mengenai keberadaan mereka dan siasatan sedang dijalankan.

Indira berkata beliau tidak mahu isu ini menjadi hal berkaitan agama atau perkara lain.

“Saya menghormati agama Islam. Saya juga seorang guru, ibu dan juga rakyat Malaysia

“Saya menghormati ajaran mereka tetapi sebagai seorang ibu saya mempunyai perasaan sendiri dan anak lebih penting.

“Tidak kira apa agamanya sekarang dan saya tidak mahu anak itu juga keliru.

“Saya mahu bertemunya, daripada berfikir tentang soal agamanya sekarang.

Apabila ditanya sama ada Prasana akan tinggal bersama bekas suaminya kerana beliau boleh membesarkannya mengikut cara Islam, Indira enggan mengulas.

“Mari kita ketepikannya dahulu. Kami berjuang untuk melihatnya, tetapi mengapa bekas suami saya masih menyembunyikannya daripada kami? “

Pada Isnin, hakim Mahkamah Persekutuan dengan lima panel membuat keputusan sebulat suara yang penukaran agama anak tiga Indira oleh Riduan kepada Islam sebagai tidak sah dan terbatal.

Mahkamah juga memutuskan penukaran agama bagi anak bawah umur memerlukan persetujuan kedua-dua ibu bapa bagi memastikan ia disahkan oleh undang-undang.

Indira membawa kesnya ke mahkamah apabila Riduan memindahkan Prasana selepas secara unilateral menukar tiga agama anaknya kepada Islam pada 2009.

Prasana hanya berumur 11 bulan ketika itu. Indira mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia 21 tahun, dan anak lelaki berusia 20 tahun yang tinggal bersamanya. – 1 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen