Mahkamah Rayuan tolak permohonan Najib kemuka bukti baharu kes SRC


Hailey Chung Wee Kye

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim berkata keputusan menolak permohonan Najib Razak untuk kemuka bukti baharu itu dicapai sebulat suara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2021.

MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak permohonan saat akhir Najib Razak untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC International, mengumumkan keputusan rayuan terhadap sabitan kesalahannya akan ditentukan pagi esok.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim bersama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera berkata keputusan dicapai sebulat suara.

Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi tahun lepas atas kesemua tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berhubung RM42 juta milik SRC International.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Jika rayuan Najib terhadap sabitannya gagal esok, bekas perdana menteri itu boleh membuat satu lagi rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Kami dapati bukti tambahan tidak diperlukan untuk rayuan… justeru permohonan itu ditolak,” umum Karim.

Karim turut berkata secara kumulatifnya pemohon telah gagal memenuhi keperluan perundangan, malah tidak ada keadaan luar biasa yang ditunjukkan.

Mahkamah membenarkan Najib hadir secara dalam talian ke keputusan rayuannya melalui aplikasi Zoom.

Ahli Parlimen Pekan itu dikatakan sedang menjalani hari pertama kuarantin 10 harinya.

Pada 1 Disember, Najib memohon Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan supaya keterangan viva voce (secara lisan) diambil daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussein, yang merupakan saksi pendakwaan ke-57 dalam kes berkaitan SRC itu serta keterangan mana-mana saksi lain berhubung kes itu.

Najib berkata beliau membuat permohonan itu berikutan kenyataan akhbar SPRM bertarikh 19 November lepas, mengenai usaha mendapatkan semula aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antaranya dari Singapura, yang menyatakan Kerajaan Singapura telah memulangkan sejumlah AS$15.4 juta kepada Malaysia berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) yang dimiliki oleh Tawfiq Ayman, suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz.

Pendakwaraya ad hoc V. Sithambaram hari ini berkata percubaan perayu untuk memohon mendapatkan bukti “tidak relevan”, malah meminta pendengaran semula substantif atau perbicaraan semula, walaupun sebelum keputusan itu diturunkan adalah “cerdik”.

“Demi kepentingan masyarakat secara keseluruhannya, litigasi ini perlu dihentikan,” kata Sithambaram.

Pendakwa raya juga berkata rasuah yang didakwa diambil oleh Tawfiq sepatutnya menjadi kesalahan berasingan. – 7 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen