Arab Saudi serang Sanaa susulan tembakan peluru berpandu pemberontak


Dua tentera Yaman pro-Arab Saudi sedang meninjau lokasi persembunyian pemberontak Huthi yang disokong Iran. – Gambar AFP, 7 Disember, 2021.

ARAB Saudi mendakwa telah melancarkan serangan udara sehingga memusnahkan tapak pelancaran peluru berpandu di Sanaa, Yaman.

Negara itu berkata, serangan sebagai tindak balas terhadap peluru berpandu balistik yang dilancarkan pemberontak Huthi.

“Kami telah musnahkan tapak di Sanaa yang dikaitkan dengan peluru berpandu balistik dan dron,” tulis agensi berita rasmi Saudi SPA melalui satu ciapan di Twitter.

Ia sebelum ini berkata tentera Saudi telah memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik yang ditembakkan ke arah negaranya oleh pemberontak Huthi di Yaman.

Seorang tentera Yaman pro-Arab Saudi sedang dalam perjalanan untuk bertemput. Arab Saudi campur tangan di Yaman bagi menyokong kerajaan dalam konflik yang telah menyebabkan puluhan ribu rakyat mati dan jutaan orang kehilangan tempat tinggal. – Gambar AFP, 7 Disember, 2021.

Pemberontak Huthi yang disokong Iran menguasai sebahagian besar utara Yaman, termasuk ibu kota Sanaa, yang mereka rampas pada 2014.

Gabungan diketuai Arab Saudi campur tangan di Yaman setahun kemudian bagi menyokong kerajaan dalam konflik yang telah menyebabkan puluhan ribu rakyat mati dan jutaan orang kehilangan tempat tinggal.

SPA berkata sasaran serangan balas termasuk kawasan “gua dan gudang rahsia peluru berpandu balistik di pinggir Sanaa”.

Kementerian pertahanan Arab Saudi, yang dipetik oleh agensi berita itu, mengecam serangan peluru berpandu Huthi dan “kelakuan ganas dan tidak bertanggungjawab mensasarkan orang awam”.

“Kementerian pertahanan akan mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi orang awam dan wilayah,” kata SPA. – AFP, 7 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen