PROJEK penambahbaikan jalan raya kebangsaan nombor 11 Kemboja yang dilaksana dengan bantuan China sudah pun selesai dan mula beroperasi pada Isnin.
Majlis perasmiannya diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dan Duta China ke Kemboja, Wang Wentian.
Hun Sen dalam ucapannya menyifatkan projek itu sebagai satu lagi pencapaian signifikan hasil jalinan persahabatan kedua-dua negara.
Beliau berkata ia bukan sahaja menyambungkan provinsi Boroveng dan Tebengmon yang menggalakkan aliran pengangkutan, tetapi juga merangsang pembangunan ekonomi serta membantu meningkatkan taraf hidup rakyat setempat.
Pada masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan atas bantuan China, dan mengalu-alukan sokongan berterusan dalam infrastruktur serta inisiatif pembangunan dalam lebih banyak bidang.
Sementara itu, Wang Wentian berkata sebagai sahabat rapat dan rakan pembangunan Kemboja, China telah membina lebih 3,000km jalan raya dan lapan jambatan persahabatan.
Selain itu, lebuh raya Phnom Penh-Pelabuhan Sihanoukville yang dijadualkan beroperasi beberapa bulan lagi, bakal menjadi lebuh raya pertama bagi Kemboja.
Untuk rekod, jalan raya kebangsaan nombor 11 yang terletak di bahagian tengah negara berkenaan, adalah laluan alternatif menyambungkan jalan raya utama nombor 1 dan 7, dengan panjang keseluruhannya sejauh 96.481km. – Bernama, 7 Disember, 2021.
Komen