China terus perhebat dasar pintu terbuka 


Perdana Menteri China Li Keqiang ketika bercakap pada Sidang Dialog Meja Bulat “1+6” keenam berlangsung di Beijing.– Gambar EPA, 7 Disember, 2021.

SIDANG Dialog Meja Bulat “1+6” keenam bertemakan, “Mendorong ekonomi sedunia yang lebih kuat, inklusif dan berterusan: Daripada Pemulihan hingga Pembinaan Semula” berlangsung di Beijing, pada Isnin.

Diadakan secara maya, sidang tersebut disertai Perdana Menteri China, Li Keqiang, Presiden Bank Dunia (WB), David Malpass, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva, Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), Ngozi Okonjo-Iweala, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Guy Ryder, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Mathias Cormann dan Pengerusi Majlis Kestabilan Kewangan (FSB), Klaas Knot.

Antara fokus perbincangan termasuk berkaitan pemulihan ekonomi sedunia, pertumbuhan lestari pasca wabak dan kestabilan pembangunan ekonomi China.

Dalam sidang tersebut, Li berkata ekonomi China sudah diintegrasi secara mendalam dengan ekonomi sedunia dan dasar pintu terbuka merupakan pilihan China untuk merealisasikan pembangunan.

Justeru katanya, China akan terus memperhebat dasar itu.

Menyentuh mengenai ulang tahun ke-20 keanggotaan China dalam WTO, Li turut menekankan bahawa China berjaya menjadi pasaran import terbesar kedua global selama 12 tahun berturut-turut.

Beliau berkata China juga akan terus memberikan kelonggaran terhadap kemasukan pasaran pelaburan asing.

“Senarai negatif kemasukan pelaburan asing pula sudah dikurangkan sebanyak dua pertiga sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Sementara, senarai edisi terkini bakal diumumkan menjelang penghujung tahun ini,” kata Li. 

Selain itu, China juga aktif melibatkan diri dalam kerjasama ekonomi serantau seperti mendorong Perjanjian Hubungan Rakan Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berkuat kuasa pada awal tahun depan.

Berstatus sebagai kawasan perdagangan bebas yang berpopulasi paling tinggi serta besar dari segi skala dan potensi, ia dijangka akan membawa daya motivasi baharu terhadap dasar pintu terbuka dan pemulihan ekonomi serantau.

Menurut Li, China juga berusaha mengaplikasikan peraturan ekonomi perdagangan antarabangsa berstandard tinggi termasuk dengan memohon menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) serta Perjanjian Hubungan Rakan Ekonomi Digital (DEPA). – Bernama, 7 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen