Mendiang raja Thailand guna muzik dekati rakyat, kata duta


Seorang wanita menggunakan telefon pintarnya untuk mengambil gambar arca emas Raja Thailand Raja Bhumibol Adulyadej. Duta Thailand ke Malaysia Chainarong Keratiyutwong berkata pada hemat baginda, muzik ibarat bahasa diplomatik manusiawi, jadi jambatan antara Thailand dan dunia. – Gambar EPA, 6 Disember, 2021.

MENDIANG Raja Thailand Raja Bhumibol Adulyadej ketika hayatnya sering menggunakan muzik sebagai medium untuk merapatkan hubungan dengan rakyat, kata Duta Thailand ke Malaysia Chainarong Keratiyutwong.

Chainarong berkata pada pandangan baginda, muzik ibarat bahasa diplomatik yang menjadi penghubung antara Thailand, masyarakat antarabangsa dan dunia.

Beliau berkata bakat semula jadi serta minat baginda terhadap muzik, terutamanya irama jazz dan blues, bermula sejak kecil. Baginda meninggal dunia pada 13 Oktober 2016, pada usia 89 tahun.

“Pada usia 18 tahun, baginda menghasilkan karya sulungnya dikenali dalam bahasa Inggeris ‘Candle Light Blues’, menandakan bermulanya karya prolifik baginda dalam muzik yang akhirnya mencecah kira-kira 48 gubahan lagu dalam beberapa genre muzik.

“Setiap gubahannya menggambarkan persepsi baginda mengenai tempat, budaya dan orang yang pernah ditemuinya,” kata Chainarong dalam ucapannya pada acara ‘From Thailand with Love’ yang menampilkan persembahan piano artis muda dan berbakat Thailand, Dr. Poom Prommachart pada Ahad, di Kuala Lumpur. 

Acara anjuran bersama Kedutaan Thailand di Malaysia dan Kolej Universiti Fairview itu turut menampilkan Gubahan Diraja sebagai mengenang baginda. 

Tarikh 5 Disember menandakan ulang tahun kelahiran mendiang Raja Bhumibol Adulyadej serta sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Bapa Thailand. – Bernama, 7 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen