Prosiding SRC International 'online' bermula


Hailey Chung Wee Kye

Ketua peguam bela Muhammad Shafee Abdullah meminta penangguhan perbicaraan SRC International sehingga selepas tempoh kuarantin 10 hari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2021.

PERBICARAAN SRC International yang diarahkan oleh Mahkamah Rayuan secara dalam talian bermula pada jam 12.30 tengah hari dengan ketua peguam bela Muhammad Shafee Abdullah meminta penangguhan selepas tempoh kuarantin 10 hari bermula hari ini.

Shafee berkata kebanyakan dokumen mahkamah berada di pejabat dan arahan baharu perbicaraan secara dalam talian menjejaskan persiapan pasukan pembelaan untuk pendengaran sekarang.

Dalam suratnya kepada pendaftar mahkamah, Shafee berkata anak dan rakan sekerjanya Muhammad Farhan disahkan positif Covid-19 semalam.

Beliau juga membangkitkan kelebihan tidak adil dalam kes itu kerana pihak pendakwaan berpeluang hadir secara fizikal di depan hakim manakala pasukan pembelaan sebaliknya.

Mahkamah Rayuan menjadualkan pendengaran permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu hari ini.

Panel hakim dijadualkan memutuskan esok sama ada untuk mengekalkan atau membatalkan sabitan ke atas Najib berhubung pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa berkaitan SRC International.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap satu daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga kes pengubahan wang haram, serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi satu pertuduhan salah guna kuasa.

Semua pertuduhan berkaitan dengan pembabitan Najib dalam penyelewengan RM42 juta dana SRC International semasa beliau memegang jawatan, dengan Nazlan memutuskan hukuman itu dijalankan serentak.

Beliau kemudian membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuannya selesai, dengan jaminan RM2 juta serta dua penjamin. – 7 Disember, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen