Bicara SRC International 'online' 12.30pm atau Najib ditangkap


Hailey Chung Wee Kye

Hakim Mahkamah Rayuan berkata keputusan rayuan Najib Razak terhadap sabitan kesalahannya akan diteruskan esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2021.

PERBICARAAN SRC International akan diteruskan petang ini secara dalam talian atau waran tangkap akan dikeluarkan terhadap Najib Razak serta-merta, kata Mahkamah Rayuan hari ini.

Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera, juga berkata keputusan rayuan Najib terhadap sabitan kesalahannya akan diteruskan esok.

Malam tadi, peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan permohonan untuk menangguhkan pendengaran kes SRC International selepas seorang daripada peguamnya didapati positif Covid-19.

“Najib ada dua pilihan. Kita boleh batalkan jaminan (RM2 juta), dengan wang jaminan dianggap dirampas.

“Dan selepas pembatalan itu, kami akan segera mengeluarkan waran tangkap terhadap Najib agar beliau berada di mahkamah.

“Pilihan kedua ialah kita boleh meneruskan perbicaraan secara dalam talian di bawah Seksyen 15(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Dan ini adalah perintah mahkamah, kami tidak memerlukan persetujuan mana-mana pihak,” kata Karim.

Pendakwaraya V. Sithambaram juga meminta supaya mahkamah meneruskan perbicaraan dalam talian supaya tidak memihak kepada pasukan pembelaan dan demi keadilan.

Peguam Harvinder Singh Sidhu mewakili pihak pembelaan memandangkan ketua peguam Muhammad Shafee Abdullah dan seluruh pasukan tidak hadir di mahkamah hari ini.

Najib juga tidak hadir dengan hanya dua penjaminnya yang hadir. Penjamin diberikan teguran tegas kerana ditangkap menyiarkan prosiding yang bertentangan dengan peraturan mahkamah.

“Anda sendiri (penjamin) tidak tahu kenapa Najib tiada di sini. Anda hanya meneka,” kata Karim.

Harvinder cuba meminta mahkamah menangguhkan perbicaraan selama seminggu, dengan berkata pihak pembelaan tidak bersedia.

“Itu objektifnya sebenarnya? Untuk meneruskan selepas 8 Disember (keputusan sabitan rayuan Najib),” kata Karim.

“Satu perkara yang kami tidak puas hati ialah pihak rayuan tidak berminat untuk datang ke sini. Ini bukan kedai kopi, ini mahkamah!”

Karim kemudian meninggikan suaranya, “untuk kepentingan siapa sebenarnya!” sebagai respons kepada penjelasan Harvinder yang pasukan pembelaan dan ketidakhadiran Najib adalah demi kepentingan kesihatan awam.

Hakim juga mengulas pihak pembelaan mencuba semua cara untuk menangguhkan perbicaraan: “Sekarang, mereka menggunakan Covid-19 sebagai alasan!”

Mahkamah menjadualkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuan hari ini.

Panel hakim menetapkan untuk memutuskan pada Rabu sama ada untuk mengekalkan atau membatalkan sabitan Najib berhubung pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa.

Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah dan tiga kes pengubahan wang haram, serta 12 tahun penjara dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun, bagi satu pertuduhan salah guna kuasa.

Semua pertuduhan berkaitan peranan Najib dalam penyelewengan RM42 juta dana SRC International semasa beliau memegang jawatan, dengan Nazlan memutuskan hukuman itu dijalankan serentak.

Mahkamah membenarkan permohonan Najib  menangguhkan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuannya diselesaikan, dengan jaminan RM2 juta serta dua penjamin. – 7 Disember, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen