Peguam Najib positif Covid-19, minta bicara ditangguhkan


Hailey Chung Wee Kye

Mahkamah Rayuan dijadualkan mendengar permohonan Najib Razak bagi mengemukakan bukti baharu dalam kes rayuan SRC International hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2021.

PASUKAN peguam bela Najib Razak memohon agar perbicaraan kes SRC International hari ini dan esok di Mahkamah Rayuan ditangguhkan selepas seorang ahlinya disahkan positif Covid-19, kata pihak pendakwaan.

Pasukan pendakwaan dalam kes SRC International mengesahkan pagi ini yang ketua peguam bela Muhammad Shafee Abdullah menulis kepada mahkamah berhubung permintaan itu malam tadi.

Mahkamah Rayuan dijadualkan mendengar permohonan Najib mengemukakan bukti baharu dalam kes rayuan SRC International hari ini.

Hakim juga memaklumkan keputusan mereka terhadap rayuan sabitan bekas perdana menteri membabitkan penyelewengan RM42 juta milik SRC International akan disampaikan pada Rabu.

Dalam suratnya kepada pendaftar mahkamah, Shafee memaklumkan anak lelaki beliau dan rakan sekerjanya Muhammad Farhan disahkan positif Covid-19 semalam.

Shafee juga berkata Najib adalah kontak rapat kerana hadir di firma itu semalam.

Terdahulu, Najib memfailkan untuk melapangkan tarikh keputusan kerana beliau akan berada di Singapura sehingga 5 Disember ini. Mahkamah menolak permohonannya itu.

Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah dan tiga kes pengubahan wang haram, serta 12 tahun penjara dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun, bagi satu pertuduhan salah guna kuasa.

Kesemua hukuman berjalan serentak.

Mahkamah membenarkan permohonan Najib  menangguhkan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuannya diselesaikan, dengan jaminan RM2 juta serta dua penjamin.

Pihak pendakwaan juga memberitahu pemberita tiada maklum balas daripada mahkamah berhubung permintaan Shafee dan perbicaraan akan bermula pagi ini. – 7 Disember, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen