AS boikot diplomatik Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing


AS mengumumkan boikot diplomatik terhadap Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 semalam. – Gambar EPA, 7 Disember, 2021.

AMERIKA Syarikat (AS) semalam mengumumkan boikot diplomatik terhadap Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.

Langkah itu dilaksanakan sebagai bantahan terhadap rekod hak asasi manusia China, tetapi AS tetap akan menghantar atlet ke temasya itu.

Washington mengambil masa beberapa bulan untuk memutuskan pendirian berhubung sukan itu, yang dihoskan negara didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Uighur Muslim di Xinjiang.

Kementerian Luar China menegaskan akan melaksanakan “tindak balas tegas” jika boikot dilaksanakan.

Tindakan boikot diplomatik itu segera disambut baik ahli politik di AS, dengan Presiden Joe Biden sebelum ini diberi tekanan untuk menyatakan penentangan terhadap pelanggaran hak asasi oleh China.

Setiausaha Akhbar White House Jen Psaki berkata pentadbiran Biden tidak akan menghantar wakil diplomatik atau rasmi ke Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing kerana jenayah kemanusiaan dan pelanggaran hak asasi manusia berterusan di Xinjiang.

Katanya, penghantaran wakil rasmi ke temasya itu memberi petanda urusan berjalan seperti biasa walaupun China melanggar hak asasi manusia dan melakukan kekejaman di Xinjiang.

“Kami tidak boleh berbuat demikian, tetapi kami akan memberi sokongan penuh kepada atlet pasukan AS. Kami akan berada di belakang mereka 100% dan menyokong mereka dari rumah,” katanya.

Beberapa pihak mendakwa sekurang-kurangnya sejuta Uighur dan etnik lain, kebanyakannya minoriti Islam, dikurung dalam kem di Xinjiang selain China didakwa memaksa pemandulan golongan wanita dan melaksanakan buruh paksa.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat AS Bob Menendez mengalu-alukan keputusan boikot diplomatik itu, yang disifatkan sebagai kritikan keras terhadap kempen kekejaman Parti Komunis China di Xinjiang. – AFP, 7 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen