Fiji lapor kes pertama Omicron


Jabatan kesihatan Fiji berkata Omicron dikesan pada dua warganegara yang tiba dari Nigeria menerusi Hong Kong pada 25 November lalu. – Gambar EPA, 7 Disember, 2021.

FIJI melaporkan kes pertama Covid-19 varian Omicron, tetapi negara Pasifik itu memaklumkan ia berjaya disekat di pintu masuk negara dan tidak menular ke dalam komuniti.

Jabatan kesihatan Fiji dalam satu kemas kini semalam berkata Omicron dikesan pada dua warganegara yang tiba dari Nigeria menerusi Hong Kong pada 25 November lalu.

Katanya, kedua-dua individu itu sudah lengkap divaksin dan ditempatkan di fasiliti kuarantin sempadan sejak ketibaan mereka kerana Nigeria dikategorikan sebagai negara zon merah yang berisiko tinggi.

“Indikator semasa menunjukkan kita berjaya mengelak daripada varian itu menular ke dalam komuniti,” kata Setiausaha Kesihatan Fiji James Fong dalam satu kenyataan.

Dua minggu selepas kes pertama di kesan di Afrika Selatan, Omicron kini ditemui di 40 negara di seluruh dunia.

Fiji berjaya menghapuskan penularan Covid-19 selama 12 bulan, sebelum dilanda gelombang kedua membabitkan varian Delta awal tahun ini yang menyebabkan hampir 700 kematian di negara dengan sejuta penduduk itu.

Jangkitan di Fiji kini menunjukkan penurunan susulan kadar vaksinasi meningkat melebihi 90% dengan 10 kes baharu dan tiada kes kematian dilaporkan semalam.

Minggu ini, Fiji membenarkan pelancong asing untuk kembali melawat negara itu, tetapi bagi negara tertentu, termasuk beberapa negara yang merekodkan kes Omicron. – AFP, 7 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen