Hartal Doktor Kontrak tunggu keputusan Kabinet sebelum mogok


Ragananthini Vethasalam

Hanya 789 daripada 23,077 pegawai perubatan kontrak yang berkhidmat sejak 2016, ditawarkan jawatan tetap, setakat ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2021.

HARTAL Doktor Kontrak bersiap sedia untuk menggerakkan 5,000 hingga 7,000 doktor kontrak bagi melaksanakan mogok di seluruh negara jika Kabinet tidak tampil dengan respons berpihak kepada tuntutan mereka, kata jurucakap kumpulan itu.

Dr Mustapha Kamal A. Aziz memberitahu The Malaysian Insight Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata masalah berkaitan jawatan tetap untuk doktor kontrak akan dibincangkan dalam Kabinet sebelum keputusan dibuat.

Khairy pada 25 November berkata solusi diperlukan untuk menyelesaikan isu itu untuk terakhir kalinya.

“Kami menunggu keputusan Kabinet berkenaan doktor kontrak,” kata Mustapha.

Beliau sebelum ini memberi amaran doktor kontrak akan melakukan mogok dan kemudian diikuti dengan peletakan jawatan beramai-ramai.

Mustapha berkata jika kerajaan tampil dengan tawaran, maka doktor boleh membuat keputusan apa yang terbaik untuk mereka pada masa depan.

Kumpulan itu beberapa kali mendesak mendapatkan jawatan tetap dan layanan sama adil bagi semua pegawai perubatan kontrak, kerana isu itu berlarutan sejak 2016 ketika sistem kontrak diperkenalkan kerajaan pada masa itu.

Dengan prospek kerjaya yang kelam, ditambah dengan keadaan kerja yang membebankan, memaksa banyak doktor muda berpindah ke luar negara bagi mendapatkan masa depan yang lebih baik serta keseimbangan kerja dan kehidupan.

Hartal 2.0 pada awalnya dijadualkan berlangsung pada Rabu. Namun, ia kini ditangguhkan hingga mendengar keputusan Kabinet.

“Kami perlu dengar dulu keputusan Kabinet,” kata Mustapha.

Hartal pertama pada Julai lalu menyaksikan ratusan kakitangan penjagaan kesihatan mengadakan mogok di seluruh negara dengan keluar dari hospital sebagai bantahan terhadap sistem kontrak.

Kumpulan itu menghantar memorandum kepada kerajaan menuntut jawatan tetap untuk semua pegawai perubatan kontrak.

Pada 9 November Khairy berkata kerajaan akan menawarkan jawatan tetap kepada 4,186 pegawai perubatan kontrak.

Hanya 789 daripada 23,077 pegawai perubatan kontrak yang berkhidmat sejak 2016, ditawarkan jawatan tetap. – 7 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen