Dua kerja untuk tanggung hidup


Diyana Ibrahim Kalidevi Mogan Kumarappa Hailey Chung Wee Kye

Ramai yang tiada pilihan selain melakukan dua kerja untuk menambah sumber pendapatan ekoran kos sara hidup yang meningkat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2021.

KOS sara hidup yang meningkat tetapi pada masa sama gaji tidak naik menyebabkan sebahagian orang tiada pilihan selain melakukan dua kerja untuk menambah sumber pendapatan.

Melakukan dua kerja bermakna terpaksa pula mengorbankan waktu rehat dan hari cuti mingguan yang sepatutnya boleh diluangkan bersama keluarga, kata mereka kepada The Malaysian Insight.

The Malaysian Insight menemubual enam orang, semuanya rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang yang berpendapatan rendah (B40) dan menengah (M40), yang kini mempunyai dua kerja untuk menanggung hidup.

Hayati Farhana, 35, berkata selain bekerja sebagai eksekutif media sosial di sebuah syarikat di Kuala Lumpur, beliau juga menambah pendapatan dengan menjual produk kosmetik.

Dengan pendapatan suaminya yang bekerja sebagai jurukamera, pasangan itu mempunyai RM9,000 daripada gaji tetap mereka yang digabungkan.

“Gaji tetap ini saya dan suami akan gunakan untuk bayar komitmen bulanan seperti pinjaman rumah dan keperluan harian,” katanya.

Jumlah itu bagaimanapun tidak cukup untuk menanggung tiga anak yang sedang membesar, ditambah dengan kos barangan yang semakin hari semakin mahal.

Hayati memberi contoh kos RM2,000 untuk pendaftaran tadika bagi seorang anak.

“Itu baru seorang. Jadi dengan pendapatan hasil perniagaan ini sangat membantu kerana dapat menambah sumber pendapatan. 

“Dengan duit itulah kami dapat membayar pelbagai keperluan yang tidak dapat ditampung jika hanya mengharapkan gaji, dan boleh menyimpan sikit walau tidak banyak,” katanya.

Statistik Jabatan Perangkaan mendedahkan pendapatan purata isi rumah di peringkat nasional meningkat pada kadar 4.3% dalam tempoh antara 2016 dan 2019.

September lepas, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata 20%  atau kira-kira 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40, yang berpendapatan antara RM4,850 dan RM10,959, sudah menurun pendapatannya beralih menjadi kumpulan B40.

Ismail memetik maklumat daripada Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan.

Kira-kira 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40 sudah menurun pendapatannya beralih menjadi kumpulan B40, menurut Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2021.

Sementara itu, Akmal Ryzal, 23, yang bekerja sebagai pelatih dengan gaji RM1,900 di sebuah syarikat kejuruteraan di Kuala Lumpur berkata beliau menambah pendapatan dengan menjadi penghantar barang sejak empat bulan lepas.

Beliau mengadu gajinya semata-mata tidak cukup, dengan kos minyak dan tol sahaja boleh cecah sehingga RM400 sebulan.

“Betul, jika untuk urusan kerja saya boleh claim kembali duit minyak dan tol, namun biasanya saya dapat dua bulan lambat. Ini bermakna saya perlu mendahulukan duit saya dahulu,” katanya.

Akmal juga membelanjakan RM300 untuk sewa bilik dan RM100 bagi bil telefon. Beliau juga memberi ibu ayahnya RM200 sebulan dan selepas ditolak duit makan dan kecemasan, biasanya ada RM200 lebihan.

“Sebab itu saya putuskan untuk cari kerja sambilan dengan menjadi penghantar barangan sejak empat bulan lepas. Saya  buat kerja ini hanya pada hujung minggu saja. 

“Dengan kerja sambilan ini setiap bulan saya dapat RM160. 

“Jadi tidaklah terlalu sesak setiap bulan, cuma untuk menyimpan setiap bulan itu tidak konsisten, kalau ada lebihan gaji baru saya akan simpan,” katanya.

Nurul Hidayah Abdul Rahman, 32, yang bekerja swasta di Pulau Pinang pula berkata beliau juga menjual produk kosmetik untuk menambah pendapatan.

Katanya, beliau boleh dapat RM3,000 sebulan dan menambah gaji bulanannya sebanyak RM3,000 untuk lebih selesa.

“Tapi bukan mudah untuk tambah pendapatan RM3,000 sebab saya perlu korbankan waktu rehat dan hari cuti.

“Bayangkan pekerjaan tetap saya memerlukan saya bekerja selama 12 jam. Jadi selepas waktu kerja saya akan tumpu sepenuhnya dengan perniagaan saya termasuk semasa Sabtu dan Ahad,” katanya.

Nandini, 29, pula menerima gaji tetap RM4,000 bekerja sebagai penulis kandungan di Kuala Lumpur. 

“Dengan gaji begitu hidup di KL ini memang tak cukup. Saya buat kerja sambilan dengan menjual sabun yang dibuat sendiri,” katanya.

Beliau mula berniaga semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan dua tahun lalu, ketika gaji pada masa itu lambat dibayar oleh majikannya.

“Melakukan dua kerja ini tak mudah dan penat sebab komitmen kita pun pada kerja tetap,” katanya yang berniaga selepas habis kerja atau pada waktu rehat.

Menurut Nandini, beliau bimbang dengan harga barang yang meningkat sekarang.

“Saya harap kos bahan untuk membuat sabun tidak meningkat. Kalau tidak terpaksa saya alihkan kos kepada pelanggan, cuma iyalah kalau kita naik harga barang takut pelanggan akan lari. 

“Saya harap ia tidak berlaku,” katanya.

Kos sara hidup yang meningkat tetapi pada masa sama gaji tidak naik menyebabkan sebahagian orang tiada pilihan selain melakukan dua kerja untuk menambah sumber pendapatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2021.

Sementara itu, Farhana Nadi, 29, berniaga minyak wangi untuk menambah pendapatan daripada kerjanya sebagai pekerja tadbir di Kuala Lumpur.

“Saya buat kerja sambilan kerana gaji tetap saya kecil, tidak banyak untuk hidup di ibu kota. Dengan kos makan, minyak, tol, komitmen setiap bulan memang cukup-cukup makan saja. 

“Itu belum lagi tambah dengan duit yang perlu diberi dekat ibu bapa saya di kampung,” yang juga mula berniaga semasa PKP.

“Saya tiada masalah pun dengan gaji kerja tetap cuma bimbang kalau apa- apa berlaku… maksudnya kalau diberhentikan kerja atau gaji kena potong. 

“Itu buat saya terfikir apa lagi cara yang boleh saya buat untuk  dapatkan sumber pendapatan lain,” katanya, yang menjadikan perniagaan minyak wangi itu sebagai pelan kedua.

“Kerja sambilan ini memang sangat membantu, maksudnya kalau dulu memang setiap bulan bergelut tak cukup duit nak makan pun kena catu tapi sekarang senang sikit sebab tidak perlu bergantung semata- mata dengan gaji tetap,” tambahnya.

Dalam pada itu pekerja teknologi maklumat David, 28, di Klang mengaku sudah biasa buat kerja tambahan, sejak belajar kolej lagi.

“Bila saya dapat kerja tetap pun empat tahun lepas saya tetap teruskan kerja sambilan saya.

“Bagi saya ia sangat membantu untuk tambah sumber pendapatan, sebab kita tidak bergantung dengan gaji tetap saja,” katanya.

Namun beliau mengakui kerja sambilannya itu bergantung pada projek yang ada.

“Jadi pendapatan itu tidak konsisten setiap bulan. Sebab itu gaji kerja sambilan saya guna untuk bayar komitmen lain seperti contoh bayar kos selenggara kereta,” katanya.

David juga berkata melakukan dua kerja menuntut seseorang untuk pandai membahagi masa dan perlu juga tahu yang mana lebih utama.

“Saya buat kerja sambilan tapi saya tetap dapat beri fokus kepada kerja tetap. Ia sebenarnya perlukan pengorbanan.

“Saya percaya tidak ada yang mudah dalam dunia ini,” katanya. – 7 Disember, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen