AMERIKA Syarikat (AS) melanjutkan status perlindungan khas untuk warga Syria yang menyaksikan kira-kira 7,000 daripada mereka tidak akan dihantar pulang ke negara asal yang dihancur akibat perang, kata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri pada Rabu.
Pentadbiran Presiden Donald Trump menarik semula perlindungan yang sama daripada beratus-ratus ribu pendatang dari beberapa negara Amerika Tengah, yang membangkitkan kebimbangan di kalangan rakyat Syria dengan kemungkinan mereka juga mengalami nasib yang sama.
“Setelah mempertimbangkan dengan teliti semua keadaan, saya menetapkan adalah menjadi keperluan untuk melanjutkan Status Perlindungan Sementara kepada rakyat Syria,” kata Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Kirstjen Nielsen dalam satu kenyataan.
Lanjutan itu diteruskan sehingga 30 September 2019, dan Nielsen akan meninjau keadaan lebih awal dari tarikh tersebut bagi menentukan sama ada ia perlu disambung atau ditamatkan.
Kerajaan AS melucutukan perlindungan yang sama daripada kira-kira 200,000 penduduk Salvador, 59,000 (Haiti) dan 5,300 (Nicaragua) - sesetengahnya berada di negara ini sejak beberapa dekad.
Perang saudara Syria berlaku selepas tentera Presiden Bashar al-Assad melakukan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan pada 2011, menarik perhatian negara-negara dari seluruh rantau serta AS, Rusia dan lain-lain.
Konflik kejam yang membunuh lebih 340,000 orang dan memusnahkan negara itu, mendorong jutaan rakyatnya melarikan diri. – AFP, 1 Februari, 2018.
Komen