POLIS menubuhkan sebuah unit siasatan khas untuk menyiasat kematian dalam tahanan, kata Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin, yang akan beroperasi mulai 1 Januari tahun depan.
Unit berkenaan akan diletakkan bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dengan diketuai seorang pegawai berpangkat Superintendan.
“Memandangkan kita menerima macam-macam rungutan tentang kematian dalam tahanan dan lokap, kita akan mewujudkan satu lagi Unit Siasatan Jenayah Kematian dalam Tahanan.
“Ini akan dilakukan secepat mungkin dan akan diketuai pegawai berpangkat superintendan, 12 anggota dan seorang kakitangan awam yang mula beroperasi pada 1 Januari depan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari Menteri Dalam Negeri di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, hari ini.
Jelas Hamzah, mulai 1 Januari 2022 unit baharu di Bukit Aman ini akan menyiasat semua kes kematian dalam tahanan polis dan bukan lagi unit lain.
“Penubuhan unit ini menunjukkan kita prihatin dengan apa yang disuarakan rakyat selain meningkatkan integriti dan imej polis.
“Siasatan unit akan tertumpu kepada siasatan unsur jenayah dan kenalpasti subjek, kecuaian kelalaian anggota, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang dikeluarkan,” katanya.
Menurut Hamzah, sebanyak 82 kes kematian dalam lokap direkodkan dalam tempoh 2015 hingga 30 November tahun ini.
Daripada jumlah itu, katanya, 42 daripadanya adalah Melayu, 13 Cina, 15 India dan 12 warga asing.
“Jumlah ini menunjukkan kematian dalam tahanan tidak mempunyai kaitan dengan unsur perkauman tetapi berpunca dari isu yang tidak dapat dielakkan termasuk penyakit lampau,” katanya.
Selain kematian dalam lokap, turut direkodkan 94 kematian dalam tahanan dalam tempoh yang sama.
Hamzah juga berkata KDN dan Kementerian Kewangan sedang berbincang untuk melantik doktor panel bagi membuat saringan kesihatan ke atas tahanan sebelum mereka dimasukkan ke lokap.
“SOP sekarang adalah untuk menunggu doktor dihantar oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang biasa makan masa.
“Jadi dengan adanya doktor panel, sebaik tangkap sahaja, pesalah boleh dibawa ke doktor panel untuk dibuat saringan kesihatan sebelum masuk lokap. Barulah kita tahu kedudukan kesihatan tahanan,” katanya. – 6 Disember, 2021.
Komen