Suu Kyi dipenjara 4 tahun oleh junta Myanmar


Hukuman empat tahun terhadap pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi ini mungkin yang pertama dalam beberapa lagi siri hukuman dijangka menyebabkan beliau meringkuk beberapa dekad dalam penjara. – Gambar AFP, 6 Disember, 2021.

JUNTA Myanmar memenjarakan pemimpin Aung San Suu Kyi selama empat tahun kerana dakwaan menghasut melawan tentera dan selain melanggar peraturan Covid-19, kata jurucakap kerajaan kepada AFP.

Hukuman ini yang pertama dalam kemungkinan beberapa lagi siri hukuman yang dijangka akan menyebabkan pemenang Hadiah Nobel ini meringkuk beberapa dekad dalam penjara.

Suu Kyi, 76, telah ditahan sejak junta menggulingkan kerajaannya pada 1 Februari, sekali gus mematikan demokrasi yang sedia singkat di negara Asia Tenggara.

Beliau telah didakwa dengan beberapa siri pertuduhan, termasuk melanggar akta rahsia rasmi, rasuah dan penipuan pilihan raya, malah beliau berdepan beberapa dekad penjara jika sabit kesalahan atas semua tuduhan.

Pada Isnin, Suu Kyi dijatuhi hukuman dua tahun kerana menghasut menentang tentera dan dua tahun lagi kerana melanggar undang-undang bencana alam berkaitan Covid-19, kata jurucakap junta Zaw Min Tun kepada AFP.

Bekas presiden Win Myint turut dipenjarakan selama empat tahun atas pertuduhan yang sama, katanya, menambah mereka belum akan dibawa ke penjara.

“Mereka akan menghadapi pertuduhan lain dari tempat mereka tinggal sekarang,” tambahnya, merujuk kepada penahanan mereka di ibu negara Naypyidaw.

Wartawan dihalang daripada perbicaraan di mahkamah khas di Naypyidaw malah peguam Suu Kyi baru-baru ini dilarang bercakap kepada media.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, perbicaraan pemimpin tertinggi parti Suu Kyi Liga Demokrasi Kebangsaan telah berakhir, dengan junta menjatuhkan hukuman keras.

Seorang bekas ketua menteri dijatuhi hukuman penjara 75 tahun bulan ini, manakala pembantu rapat Suu Kyi dipenjarakan 20 tahun. – AFP, 6 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen