.jpg)
KENYATAAN Perdana Menteri Najib Razak kononnya tiada penipuan yang akan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti sarat dengan sandiwara.
Adalah menjadi satu rahsia umum yang pelbagai helah dan taktik kotor sedang giat direkayasa sebelum berlangsungnya PRU14 terutamanya dengan rancangan persempadanan semula yang ternyata berat sebelah, bersifat perkauman dan membunuh amalan demokrasi yang sihat.
Malah, pejabat saya membuat laporan polis pada pagi semalam hasil penelitian rang daftar pemilih tambahan yang terbaru menunjukkan pemindahan pengundi secara terancang dan menyerlahkan lagi taktik kotor dan penipuan bila mana ratusan pengundi menggunakan alamat palsu untuk berada di lokaliti yang tidak mereka diami.
Ini jelas adanya usaha untuk memenangi semula Parlimen Bukit Katil semula dengan helah yang jahat.
Saya ingin bertanya jika benar PRU14 ini dijamin tidak akan ada penipuan dan helah yang jahat, apakah Najib selaku perdana menteri bersedia untuk tidak membentangkan cadangan persempadanan semula yang dibuat?
Apakah cadangan persempadanan semula itu masih hendak dibentangkan walaupun terdapat bantahan daripada ratusan ribu pengundi dan tidak mengikut prinsip-prinsip asas persempadanan di dalam Perlembagaan serta persempadanan yang bersifat perkauman? – 1 Februari, 2018.
* Shamsul Iskandar Mohd Akin adalah ahli Parlimen Bukit Katil merangkap naib presiden PKR.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen