Keputusan kes pendakwaan Zahid diketahui 24 Januari


Hailey Chung Wee Kye

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berdepan 12 tuduhan jenayah pecah amanah, lapan kes rasuah, dan 27 tuduhan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2021.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 24 Januari untuk memutuskan sama ada memanggil bekas timbalan perdana Ahmad Zahid Hamidi membela diri atau tidak terhadap 47 pertuduhan jenayah yang dihadapinya melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan selesai menggulung hujah masing-masing, yang berlangsung 24 hari sejak 6 September.

Pendakwaan dilakukan timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran, Gan Peng Kun dan Harris Ong Mohd Jeffery Ong sementara Ahmad Zahid diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Perbicaraan terhadap presiden Umno berlangsung 53 hari bermula 18 November 2019 dan beberapa tertangguh kerana sekatan pergerakan membendung penularan Covid-19.

Sepanjang perbicaraan, mahkamah mendengar 99 keterangan saksi yang dikemukakan oleh pihak pendakwa.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 12 tuduhan jenayah pecah amanah, lapan kes rasuah, dan 27 tuduhan pengubahan wang haram milik yayasan.

Sebelum itu, Hisyam berhujah Ahmad Zahid sepatutnya diberikan imuniti susulan keterangannya kepada agensi antirasuah.

Katanya, bekas perdana menteri memberi dua keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2 dan 3 Julai 2018 dan sepatutnya dilindungi mengikuti Seksyen 30(7) Akta SPRM.

Menurut Hisyam, pegawai SPRM yang merakamkan keterangan Ahmad Zahid telah tersilap berbuat demikian mengikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah sebelum tangkapan atau Seksyen 53 Akta SPRM selepas tangkapan.

Hujah Hisham disanggah oleh timbalan pendakwa raya Raja Rozela.

Mahkamah menetapkan 18 hari perbicaraan sekiranya Ahmaad Zahid dipanggil untuk membela diri, iaitu bermula 28 Mac hingga 30 Jun. – Bernama, 6 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen