DUA letupan menggegarkan kem Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Gao, Mali semalam, menyebabkan kemusnahan tetapi tiada kematian dilaporkan.
Letupan awal pagi itu mengejutkan wakil PBB di Mali, menyebabkan mereka melarikan diri ke tempat perlindungan selama dua jam.
Tentera Perancis melaporkan kerosakan barangan tetapi tiada maklumat berkenaan siapa penyerang yang melakukan letupan itu.
Jurucakap MINUSMA Myriam Dessables berkata dua kem lain di bahagian utara menjadi sasaran mortar pada Sabtu, tetapi tiada kerosakan dilaporkan.
Ia insiden keganasan terbaru di negara Afrika Barat itu selepas 31 terbunuh dalam serangan pada Jumaat, disyaki dilakukan militant berhampiran bandar Bandiagara.
Mali bergelut untuk membendung kebangkitan militant yang tercetus kali pertama di utara pada 2012 dan sejak itu menyebabkan ribuan orang awam dan tentera maut.
Walaupun dengan kehadiran ribuan tentera Perancis dan PBB, konflik di Mali tetap merebak ke negara jiran Burkina Faso dan Niger.
Perancis, bekas kuasa penjajah di Mali berkata ia akan mengurangkan jumlah tenteranya di Sahel. – AFP, 6 Disember, 2021.
Komen