TENTERA Myanmar merempuh sebuah kereta ke arah sekumpulan penunjuk perasaan yang mengadakan protes anti rampasan kuasa secara aman di Yangon semalam, menyebabkan tiga orang awam tercedera.
Negara ini tegang dan mengalami kekecohan sejak Februari selepas tentera menggulingkan kerajaan, mencetuskan demonstrasi di seluruh negara, memaksa juta mengenakan kekerasan dan penahanan beramai-ramai.
Lebih 10 bulan sejak tentera mengambil alih kuasa, menyaksikan kira-kira 1,300 orang terbunuh ketika mengadakan demonstrasi terhadap tentera.
Demonstrasi di Yangon semalam disuraikan selepas sebuah kenderaan besar merempuh mereka, menurut wartawan.
“Kenderaan dipandu tentera itu menambah kelajuan ketika menghampiri kumpulan penunjuk perasaan, seolah-olah mereka memandu ke arah mereka,” katanya yang enggan memberikan nama atas alasan keselamatan.
Saksi itu berkata kumpulan itu, dengan ada yang membawa sepanduk menyokong pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, dilanggar dan jatuh di atas jalan raya sementara yang lain melarikan diri.
“Tentera kemudian keluar dari kenderaan itu dan mula melepaskan tembakan,” katanya.
Seorang penunjuk perasaan cedera teruk, kata seorang lagi saksi dan dibawa bersama dua yang lain – termasuk seorang wartawan – menaiki ambulans.
Tentera mula memukul tiga lelaki yang jatuh dilanggar kenderaan itu, kata saksi.
“Tentera mengacu senapang ke arah kami dan arah semua orang ramai beredar, kami terpaksa pergi,” katanya. – AFP, 6 Disember, 2021.
Komen