PAKAR ekonomi menolak kebimbangan peningkatan kebankrapan melibatkan golongan belia sebaik sahaja pakej bantuan kerajaan berakhir bulan depan.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa walaupun moratorium pinjaman akan ditamatkan tidak lama lagi, bank terus menyediakan bantuan bersasar kepada mereka yang tidak dapat membayar balik hutang.
Mereka juga berkata keadaan gawat itu tidak akan menjadi isu besar sekiranya ekonomi terus berjalan dan jika terdapat peluang pekerjaan.
Bagaimanapun, mereka bersetuju bahawa akan ada sekumpulan kecil anak muda yang akan terperangkap dengan hutang dan muflis.
Profesor Madya di Universiti Tunku Abdul Rahman Wong Chin-Yoong menjelaskan adalah tidak menguntungkan kepada bank menyenaraikan peminjam mereka sebagai individu muflis.
Malah, tambah Wong institusi kewangan itu lebih gemar menstrukturkan semula pinjaman bagi mendapatkan kembali wang mereka.
“Bank paling takut dengan peningkatan mendadak dalam hutang lapuk. Tetapi bank tidak takut untuk menstrukturkan semula hutang anda, melanjutkan tempoh moratorium atau membenarkan ansuran.
“Secara amnya, mereka bersedia untuk berkoordinasi dengan peminjam,” katanya.
Justeru, beliau tidak percaya ramai akan muflis apabila bantuan kewangan kerajaan, termasuk lanjutan moratorium pembayaran balik pinjaman tamat.
“Malah, penangguhan pembayaran balik pinjaman tidak lagi tersedia untuk tempoh Oktober tahun lalu.
“Ia hanya diberikan kepada kumpulan tertentu sejak tempoh itu sehingga Jun tahun ini apabila moratorium diperkenalkan semula ketika perintah kawalan pergerakan.
“Jadi dari Oktober tahun lalu hingga Jun tahun ini, kita tidak nampak ramai belia yang tidak mampu membayar balik pinjaman dan muflis,” kata Wong.
Beliau berkata, walaupun ekonomi tidak kembali ke paras 2019, namun selagi aktiviti perniagaan boleh berjalan, peluang pekerjaan akan tersedia.
Malah, dengan adanya peluang pekerjaan, belia yang terjejas boleh bertahan walaupun tanpa bantuan kewangan kerajaan.
“Ringkasnya, kebankrapan akan berlaku kepada individu, tetapi saya tidak fikir kebankrapan akan menjadi fenomena biasa,” kata Wong.
Ketua Strategi Phillip Capital Phua Lee Kerk bersetuju dengan Wong, tetapi menjelaskan sesetengah individu mungkin masih muflis.
“Mungkin mereka belum mendapat pekerjaan lagi, atau sudah bekerja tetapi memperoleh gaji lebih rendah daripada sebelumnya atau perniagaan mereka gagal,” kata Phua.
Beliau berkata dengan kemunculan varian Omicron, lebih banyak ketidaktentuan akan berlaku kepada pemulihan ekonomi tahun depan.
“Tahun depan juga mungkin tahun pilihan raya umum. Dan jika varian Omicron membawa kesan serius, langkah mengetatkan perjalanan ke luar negara juga akan menjejaskan eksport negara.
“Dalam keadaan ini, pertumbuhan ekonomi negara akan menghadapi kesukaran.
“Bagaimanapun terdapat kemungkinan besar pembayaran balik pinjaman tertunda akan dilanjutkan dan kebarangkalian muflis dapat dikurangkan,” katanya.
Beliau juga berkata, perhatian perlu diberikan kepada golongan berpendapatan sederhana dan tinggi dalam menghadapi masalah kewangan.
“Secara amnya, tidak ramai yang menyuarakan golongan berpendapatan sederhana hingga tinggi mempunyai beban yang berat.
“Sebab selain bayar rumah sendiri, mereka juga ada rumah untuk pelaburan.
“Jika pendapatan mereka tidak meningkat, mereka akan menghadapi cabaran yang besar. Jadi, muflis bukan hanya satu kemungkinan dalam kalangan belia,” kata Phua.
Beliau menggesa mereka yang menghadapi masalah hutang supaya berunding dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan bank.
“Apabila anda merasakan anda mengalami kesukaran, anda mesti mendapatkan bantuan dan cuba mengelakkan akibat yang serius.
“Media juga memainkan peranan penting dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang peranan institusi berkaitan,” katanya. – 6 Disember, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen