11 maut, rumah orang tua di Jepun terbakar


SERAMAI 11 orang maut dalam kejadian kebakaran di rumah orang tua yang mempunyai masalah kewangan di utara Jepun, kata polis pada Khamis.

Rakaman televisyen menunjukkan bangunan tiga tingkat itu dijilat api dan puluhan anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran dalam keadaan bersalji.

Gambar selepas itu menunjukkan bangunan hangus terbakar dengan bumbungnya runtuh akibat kebakaran.

Mangsa terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita yang merupakan antara 16 penghuni di fasiliti terletak di Sapporo, Hokkaido, yang dikelola oleh organisasi tempatan.

Lima penghuni yang lain berjaya melarikan diri dengan kecederaan ringan, kata jurucakap polis kepada AFP, sambil menambah pihak berkuasa sedang menyiasat kesemua identiti mangsa.

Polis berkata mereka melancarkan siasatan ke atas punca kebakaran yang menerima panggilan kecemasan pada jam 11:42 malam (1442 GMT) Rabu, kata jurucakap itu.

Kediaman itu diwujudkan bagi membantu warga tua yang mempunyai masalah kewangan dengan menawarkan penginapan murah dan membantu mereka mencari pekerjaan, lapor NHK.

Ia biasanya tidak mempunyai kakitangan pada waktu malam, menurut laporan media tempatan. – AFP, 1 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen