POLIS Perancis pada Rabu menyoal ilmuan Islam Switzerland terkenal, Tariq Ramadan atas tuduhan memperkosa dua wanita, yang mendedahkan dakwaan mereka susulan skandal Harvey Weinstein.
Profesor Oxford itu dipanggil ke balai polis Paris dan diletakkan di bawah jagaan “sebagai sebahagian daripada siasatan awal di Paris berhubung dakwaan rogol dan menyerang”, kata seorang sumber polis.
Ramadan menafikan keras aduan yang dibuat dua wanita Islam itu yang mengatakan mereka berani bersuara selepas beberapa pendedahan yang menumbangkan penerbit filem terkenal Hollywood, Weinstein.
Kedua-dua wanita itu mengatakan mereka mendekati Ramadan, yang datuknya mengasaskan pergerakan Ikhwan Muslim Mesir, secara berasingan bagi mendapatkan nasihat agama.
Henda Ayari, seorang aktivis feminis dan penulis mengatakan Ramadan mencadangkan mereka bertemu di Paris pada 2012 selepas menghubungi beliau mengenai keputusannya untuk berhenti memakai tudung.
Beliau berkata Ramadan merogolnya di bilik hotel, memberitahu akhbar Le Parisien: “Beliau mencekik saya dengan kuat sehingga saya fikir saya akan mati.”
Seorang wanita kurang upaya yang tidak dinamakan juga menuduh ahli akademik itu merogolnya di sebuah bilik hotel di bandar raya tenggara Perancis pada 2009.
Pada November, Universiti Oxford mengumumkan Ramadan yang berusia 55 tahun mengambil cuti dari jawatannya sebagai profesor pengajian Islam kontemporari, “dengan persetujuan bersama”.
Amerika Syarikat melarangnya masuk ke negara itu selama beberapa tahun selepas serangan 11 September 2001, menghalangnya menerima jawatan akademik di sana.
Ramadan menganggap keputusan itu tidak masuk akal, menekankan beliau selalu menolak keganasan dan menuduh AS cuba menahan perdebatan. – AFP, 1 Februari, 2018.
Komen