KETIKA Ili Nadirah tahu dia mengandung, perasaan awalnya yang malu, takut dibuang keluarga dan rakan berganti dengan ketakutan lain – dia mungkin tidak dapat menjaga bayinya.
“Saya tidak pernah periksa kandungan di klinik kerajaan sebab takut. Pernah buat sekali di klinik swasta sewaktu kandungan lima bulan,” kata penyambut tetamu berusia 23 tahun dan belum berkahwin itu.
Tetapi wanita Islam dari Meru, Klang itu tidak ada pilihan dan terpaksa melahirkan bayinya di hospital kerajaan kerana tidak mampu membayar bil hospital swasta.
“Mulanya rasa takut hendak bersalin di hospital kerajaan. Saya ingat banyak syarat susah sebab saya belum kahwin lagi, tapi sebenarnya tidak.
“Mereka beri saya kaunseling dan tanya apa rancangan saya selepas ini. Saya hendak jaga anak saya. Saya akan berkahwin dengan teman lelaki saya,” katanya dan berkata doktor menggalakkan dia menjaga sendiri anaknya.
Ramai wanita seperti Ili takut hukuman daripada pihak berkuasa jika mereka melahirkan bayi luar nikah di hospital kerajaan, dan kebimbangan lebih besar ialah jika terpaksa memberikan anak untuk dijadikan anak angkat.
Ketakutan itu menyebabkan Dayana Hakimi, 23, mengambil keputusan melahirkan bayinya yang tidak sah taraf di hospital swasta di Kuala Lumpur pada Jun tahun lalu, meskipun dia tidak mampu dengan gajinya hanya RM800 sebulan.

Dayana yang bimbang kisah hitamnya diketahui keluarga melahirkan anak perempuannya di Kuala Lumpur dengan kos RM2,500.
“Saya bayar deposit RM500. Saya ada simpan duit sikit, teman lelaki bagi sedikit dan pinjam kawan. Saya sudah terfikir hendak pinjam ceti haram, mujur tidak terjebak,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.
“Saya dengar orang kata kalau bersalin di hospital kerajaan, saya mungkin kena tangkap. Nanti mereka serahkan anak saya pada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Dalam tempoh 10 tahun, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan 532,158 kelahiran anak tidak sah taraf. Kehadiran lebih setengah juta bayi itu dicatatkan bermula 2005 hingga 2015.
Kumpulan bantuan kepada wanita berkata jumlah sebenar mungkin lebih tinggi, dan kebanyakan kelahiran tidak direkodkan kerana ibu tidak berkahwin akan memilih melahirkan di hospital swasta, yang tidak mewajibkan kes anak tidak sah taraf dilaporkan.
Di Hospital Sungai Buloh saja, lebih 20 bayi tidak sah taraf didaftarkan setiap bulan dan majoriti dilahirkan oleh wanita Melayu yang tidak berkahwin.
Tiada diskriminasi di hospital kerajaan
Pengarah Hospital Sungai Buloh Dr Khalid Ibrahim menafikan dakwaan gadis terlanjur akan mengalami kesulitan jika bersalin di hospital kerajaan.
“Kami tiada lapor polis jika ada kes hamil luar nikah. Tiada tangkapan. Bagi kami selagi mereka ada kad rawatan hospital kerajaan dan swasta. Cuma bila mereka bersalin kita ada proses tertentu yang mesti dipatuhi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata selepas melahirkan, doktor akan merujuk kelahiran itu pada Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) yang akan bertemu dengan keluarga atau waris untuk masa depan bayi berkenaan.
“Pihak hospital hanya merujuk kes tertentu kepada JKM. Tiada sebarang urusan melibatkan jabatan agama malah mereka tiada hak.
“Selepas bersalin, ibu hanya akan berurusan dengan JPN untuk pendaftaran dan JKM jika perlu,” katanya.
Dr Khalid berkata tiada diskriminasi pemberian dokumen pendaftaran anak untuk kes itu, malah sama seperti di hospital swasta.
“Bayaran di hospital swasta mencecah ribuan ringgit tapi sebenarnya ia sama saja seperti di hospital kerajaan.
“Selepas bersalin kita akan bagi semua dokumen untuk mendaftar di JPN. Cuma maklumat di bahagian bapa bertulis tiada maklumat. Perkara sama juga dilakukan pihak swasta,” katanya.
Surat beranak tiada maklumat bapa
Dayana berkata isu tiada maklumat bapa di dalam surat beranak anaknya akan menjadi rumit pada masa depan.
“Bayangkan apa perasaan anak saya. Tiada maklumat bapa. Tetapi saya nekad lepas kami berkahwin, kami cuba mohon untuk mengisi maklumat bapa.
“Saya kesal sangat tetapi terpaksa menipu agar keluarga tidak malu,” katanya.
Malah, Dayana juga serba salah kerana pernah berusaha menggugurkan kandungan di awal kehamilan dengan makan nanas, minum air tebu dan air bergas.
“Saya hendak ke klinik gugurkan tetapi kosnya tinggi. Tetapi bila fikir balik, saya sangat menyesal. Mujur anak saya tiada kesan sampingan waktu lahir,” katanya. – 22 Mei, 2017.

Komen