Putrajaya guna pakai dasar melampau PAS terhadap arak, kata Guan Eng


Lim Guan Eng mendakwa Putrajaya kini mula mengamalkan dasar melampau PAS berkaitan penjualan arak dan alkohol. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2021.

KERAJAAN berperangai melampau dengan sekatan terbaru dikenakan  ke atas kedai kopi untuk menjual arak kepada orang bukan Islam dengan menghendaki mereka memohon lesen alkohol, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini.

Katanya, kerajaan persekutuan dibawah kepimpinan Ismail Sabri Yaakob kini menggunapakai dasar melampau PAS di seluruh negara.

Ahli Parlimen Bagan itu menambah yang dasar sebegitu tidak adil untuk rakyat bukan Islam di negara ini.

Beliau mengulas laporan diterbitkan akhbar China Press yang kedai kopi dan restoran di Perlis hanya dihadkan untuk menjual empat karton arak setiap hari.

Selain itu, laporan turut menyebut yang Jabatan Kastam akan mengenakan sekatan terbaru bermula tahun depan, menghendaki semua kedai kopi dan restoran yang menjual alkohol untuk mendapatkan lesen.

“Ini bukan sahaja mengenakan beban kewangan tambahan dengan memabyar kos tambahan perlesenan untuk kedai kopi dan restoran berjumlah lebih RM1,000 dibawah keadaan ekonomi semasa yang sukar disebabkan kelembapan ekonomi dan pandemik Covid-19.

“Ini adalah cubaan sengaja mengenakan sekatan tidak perlu dan masuk campur dalam gaya hidup dan amalan perniagaan orang bukan Islam yang tidak diganggu sejak Merdeka bagi memenuhi politik melampau PAS,” katanya dalam satu kenyataan.

Lim turut mempersoalkan sama ada sekatan ini adalah motif politik sebenar kerajaan persekutuan untuk memenuhi hasrat pelampau PAS.

Tambahnya, peraturan itu menghendaki semua kedai kopi dan restoran yang menjual alkohol untuk mendapatkan lesen akan menjejaskan lebih 10,000 perniagaan di seluruh negara.

“Peraturan terbaru tahun depan oleh Jabatan Kastam ke atas semua kedai kopi dan restoran akan menjejaskan lebih 10,000 perniagaan di seluruh negara.

“Dengan marjin keuntungan kecil menjual arak, sebilangan kedai kopi kecil mungkin akan terpaksa menjual arak kerana mereka tidak mampu (membayar) lebih RM1,000 caj perlesenan.”

Lim yang merupakan menteri kewangan ketika pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan berkata menteri bukan Islam dalam Kabinet terutama sekali dari Sabah dan Sarawak perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan menjelaskan mengapa mereka tidak menghalang dasar melampau itu daripada dilaksanakan kerajaan persekutuan.

“Jelas sekali yang menyokong menteri bukan Islam termasuk dalam GPS dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang hanya akan membawa penghakisan malah penindasan hak bukan Islam bagi memenuhi dasar melampau PAS.

“Mengapa masuk campur dalam penjualan arak kepada orang bukan Islam apabila ia tidak dijual kepada orang Islam,” tanya Lim.

Sementara menunggu penjelasan lanjut daripada perdana menteri dan Jabatan Kastam tentang kesahihan dakwaan ini, Lim menggesa pihak berkuasa tempatan terutama di negeri pentadbiran PH supaya tidak mengenakan peraturan yang menghalang dan menghadkan hak sedia ada orang bukan Islam.

Katanya lagi, DAP akan mengarahkan peguamnya untuk menyemak peraturan sekatan ke atas penjualan dan perlesenan arak itu untuk mencabarnya di mahkamah. – 5 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen