Operasi China berhampiran Taiwan ala ‘latihan perang’, kata AS


Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, tentera China melancarkan siri operasi tentera laut dan udara yang agresif berhampiran Taiwan. – Gambar fail EPA, 5 Disember, 2021.

SETIAUSAHA Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Lloyd Austin mendakwa operasi ketenteraan China yang diadakan secara besar-besaran berhampiran Taiwan umpama latihan perang.

“Ia kelihatan seperti mereka menonjolkan keupayaan sebenar. Ia seperti latihan perang,” katanya ketika berucap di Forum Pertahanan Kebangsaan di Perpustakaan Presiden Reagan di Simi Valley, California.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, tentera China melancarkan siri operasi tentera laut dan udara yang agresif berhampiran Taiwan.

Dalam ucapannya yang ditujukan kepada China, Austin turut menggariskan perbezaan sebenar pendirian antara Washington dengan Beijing.

Beliau berkata China kini satu-satunya negara mampu menggunakan kuasa ekonomi, diplomatik, ketenteraan dan teknologinya untuk mencabar secara berterusan sistem antarabangsa yang stabil dan terbuka.

Bagaimanapun, katanya dua kuasa besar ini memiliki perbezaan jelas daripada segi kepentingan dan nilai tetapi cara ia diuruskan itu lebih utama.

“Ia menyentuh ketidakpuasan hati terhadap peraturan yang ada dan matlamat mereka mahu menggantikan AS sebagai pemimpin global.

“Kami bukan mahu mencetuskan konfrontasi atau konflik. Kami tidak mahu perang dingin baharu atau dunia dipecahkan kepada blok tertentu,” katanya. – AFP, 5 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen