AMERIKA Syarikat pada Sabtu menerajui kumpulan negara Barat dan sekutu mengecam tindakan Taliban melakukan “hukuman mati tanpa bicara” ke atas bekas ahli pasukan keselamatan Afghan dilaporkan kumpulan hak asasi, mendesak siasatan secepatnya dibuat.
“Kami sangat bimbang dengan laporan berlakunya pelaksanaan hukuman mati tanpa bicara dan kehilangan paksa bekas anggota keselamatan Afghan dilaporkan Human Rights Watch dan yang lain,” kata kenyataan dikeluarkan AS, Kesatuan Eropah, Australia, Britain, Jepun dan yang lain diedarkan Jabatan Negara.
“Kami beranggapan yang dakwaan tindakan ini adalah pelanggaran serius hak asasi dan bercanggah dengan pengumuman pengampunan Taliban,” kata kumpulan itu yang mendesak pemerintah baharu Afgahnistan memastikan pengampunan dilaksanakan dan “diikuti di seluruh negara dan peringkat.”
Awal minggu ini, Human Rights Watch (HRW) mengeluarkan laporan mendakwa berlaku pelaksanaan hukuman mati tanpa bicara atau kehilangan paksa melibatkan 47 anggota Pasukan Keselamatan Nasional Afghan, anggota tentera, polis dan ejen perisikan yang menyerah diri atau ditahan Taliban sejak pertengahan Ogos hingga Oktober lalu.
Taliban merampas kuasa di Afghanistan pada Ogos seterusnya menumbangkan kerajaan disokong AS di Kabul dan meruntuhkan sistem ketenteraan negara itu.
Mereka kembali mentadbir negara selepas hampir 20 tahun diperangi tentera AS yang menamatkan pentadbiran kejam ke atas wanita, kegagalan mematuhi hak asasi dan tafsiran cetek Islam.
Pemimpin Taliban pada masa kini yang mahukan pengiktirafan antarabangsa berjanji pentadbiran baharu berbeza daripada sebelum ini.
Tetapi, pelbagai laporan diterbitkan mendakwa Taliban terus melakukan aktiviti keganasan dan PBB sudah meluahkan kebimbangan ke atas “dakwaan boleh dipercayai” yang Taliban melakukan pembunuhan tanpa bicara sejak kembali mentadbir, walaupun berjanji memberikan pengampunan kepada anggota keselamatan kerajaan terdahulu.
Dalam laporannya, HRW berkata pemimpin Taliban mengarahkan anggota keselamatan yang menyerah diri untuk mendaftar dengan pihak berkuasa bagi saringan hubungan mereka dengan pasukan keselamatan dan menerima surat menjamin keselamatan mereka.
“Bagaimanapun, Taliban menggunakan saringan ini untuk menahan dan membunuh atau melakukan kehilangan paksa ke atas individu dalam tempoh beberapa hari selepas pendaftaran, meninggalkan mayat mereka untuk dicari dan ditemui ahli keluarga dan komuniti,” kata HRW.
Washington mengadakan rundingan dengan Taliban awal minggu ini, pusingan kedua selepas tentera AS meninggalkan negara itu.
Pada rundingan di Doha itu, pengawai AS menggesa kumpulan militan itu untuk menyediakan akses pendidikan kepada wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh negara.
Ia juga “meluahkan kebimbangan mendalam berkaitan tuduhan pencabulan hak asasi,” kata jurucakap AS. – AFP, 5 Disember, 2021.
Komen