.jpg)
KETIKA saya di universiti, seorang pensyarah memberitahu kami – sekiranya dunia tiba-tiba mengharamkan aktiviti import-eksport, bekalan makanan yang ada di Malaysia hanya mampu bertahan selama dua minggu.
Dalam erti kata lain, Malaysia amat bergantung kepada import makanan untuk memenuhi keperluan rakyat.
Melihat kenaikan harga barang secara mendadak, saya rasa ia adalah peluang untuk kita melakukan reformasi terhadap industri pengeluaran makanan.
Selain permintaan yang tinggi dan bekalan yang kurang (ekonomi 101), kenaikan harga barang terjadi kerana beberapa faktor: faktor alam, peranan orang tengah, dan rantaian bekalan (supply chain) yang panjang.
Saya tidak fikir keputusan kerajaan membawa ayam sejuk beku bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang adalah keputusan yang tepat.
Ia hanya akan memberi keuntungan kepada pengimport (terutamanya orang tengah) dan tidak menyelesaikan masalah keselamatan makanan yang ada di negara kita.
Isu keselamatan makanan jarang dibincangkan masyarakat umum kerana ramai yang kurang sedar akan kepentingannya.
Keselamatan makanan mencakupi isu ketersediaan bekalan makanan, harga mampu milik makanan, penggunaan, dan kestabilan bekalan makanan.
Secara umumnya, kebergantungan kita kepada bekalan makanan import akan membawa bencana sekiranya terdapat gangguan kepada ekosistem tersebut.
Sebagai contoh, kita melihat harga bawang besar dari India naik mendadak beberapa bulan lepas kerana gangguan bekalan import.
Ia masa yang sesuai untuk kita merangka plan jangka masa panjang berkaitan food security. Kita perlu mencari jalan untuk meningkatkan kadar pengeluaran bekalan makanan tempatan.
Untuk pelan jangka masa pendek, kerajaan perlu berbelanja untuk memperkenalkan subsidi bersasar bagi menampung peningkatan harga barang.
Saya mendapat maklumat daripada penternak ayam tentang masalah harga dedak (makanan ayam) yang tinggi.
Keadaan ini menyebabkan penternak terpaksa meningkatkan harga ayam bagi mengelakkan kerugian.
Saya sarankan kerajaan memperkenalkan subsidi untuk harga makanan ayam dan hal-hal lain yang menyebabkan peningkatan harga “end product” bagi makanan ruji rakyat Malaysia.
Kita harus membantu petani dan peladang tempatan untuk meningkatkan kadar produksi mereka. Berikan dana kepada rakyat yang terlibat dalam industri bekalan makanan untuk meningkatkan operasi mereka.
Cuma, jangan sesekali ulangi kesilapan yang dilakukan dalam projek NFC.
Sekarang sudah ada konsep “urban farming” yang mampu menyingkirkan risiko cuaca dan mengeluarkan hasil dengan lebih pantas.
Usahawan seperti ini perlu mendapat dokongan yang lebih padu daripada kerajaan. Tanah kosong kerajaan boleh dipinjamkan kepada rakyat bagi tujuan pertanian dan penternakan.
Selain itu, perkenalkan dasar yang merangsang rakyat untuk bertani dan menternak. Kita harus menjenamakan semula bidang pertanian dan penternakan supaya ia tidak dilihat sebagai pekerjaan yang hina pada mata masyarakat. Ia adalah industri yang penting dan diperlukan ketika ini.
Sewajarnya lebih ramai rakyat diberi peluang (tanah dan bantuan modal) untuk melakukan pertanian dan penternakan. Industri ini sudah tentu akan membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
Untuk pelan jangka masa pendek, saya teringat dengan kedai 1Malaysia, barangan dijual dengan harga yang lebih murah. Cuma ada kritikan tentang kualiti barangan dan bagaimana kedai ini diuruskan.
Kita boleh melihat semua inisiatif seperti ini dan memperbaiki kelemahan yang ada.
Biar rakyat yang memerlukan membeli di kedai-kedai seperti ini. Kita boleh memperkenalkan baucer makanan secara bersasar – untuk memastikan golongan rentan di negara ini tidak kehabisan bekalan makanan.
Sekiranya kita tidak memiliki perancangan jangka masa panjang untuk memperbaiki food security, kita akan selalu berhadapan dengan masalah seperti ini.
Akhirnya kerajaan akan mengambil langkah yang serupa – meningkatkan kadar import makanan yang hanya akan memberi keuntungan kepada golongan tertentu saja.
Perkenalkan dasar yang membantu meningkatkan produksi bekalanan makanan dan rangsang rakyat Malaysia untuk bertani atau menternak. – 5 Disember, 2021.
* Rahman Imuda ialah pembaca The Malaysian Insight.
Komen