1,037 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam


Ravin Palanisamy

MALAYSIA melaporkan 1,037 kemasukan ke hospital disebabkan Covid-19 semalam, berkurang berbanding 1,146 kemasukan kelmarin, kata Kementerian Kesihatan.

Menurut laman web CovidNow, peratusan keseluruhan penggunaan katil hospital seluruh negara jatuh kepada 66.8%, dengan kadar katil untuk kemasukan Covid-19 adalah 36.9% daripada jumlah itu.

Kadar kemasukan ke hospital adalah petunjuk keseriusan wabak koronavirus. Ia meliputi penggunaan katil serta jumlah pesakit di unit rawatan rapi dan yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Lembah Klang merekodkan 317 kemasukan hospital semalam, berkurang sedikit berbanding 329 kemasukan kelmarin. Penggunaan katil di kawasan ini kekal pada 60.9%.

Selangor melaporkan jumlah kemasukan ke hospital tertinggi di kawasan itu dengan 253 kes, diikuti Kuala Lumpur (40) dan Putrajaya (24).

Negeri lain yang melaporkan kemasukan ke hospital baharu adalah Johor (143), Sabah (99), Negeri Sembilan (69), Terengganu (68), Kelantan (62), Perak (59), Sarawak (57), Pahang (44), Kedah (40), Pulau Pinang (36), Melaka (25) dan Perlis (18). 

Labuan tidak melaporkan kes baharu kemasukan ke hospital semalam.

Walaupun Selangor melaporkan jumlah kemasukan ke hospital tertinggi semalam, kadar penggunaan katil tertinggi adalah di Terengganu dengan 81.9%.

Semalam Malaysia melaporkan 4,896 kes baharu Covid-19, terendah sejak empat hari lalu.

Lembah Klang melaporkan 1,616 kes atau 33% kes keseluruhan, daripada jumlah itu Selangor merekodkan 1,347 kes, Kuala Lumpur (232) dan Putrajaya (37).

Negeri lain yang melaporkan kes baharu adalah Johor (487), Kelantan (432), Sabah (351), Pulau Pinang (344), Kedah (335), Pahang (299), Perak (235), Negeri Sembilan (230), Melaka (225), Terengganu (168), Sarawak (104), Perlis (44) dan Labuan (26).

Kadar penggunaan alat bantuan pernafasan berada pada kadar 38.5% dan katil ICU adalah 62.3%. Daripada jumlah itu, 43.9% adalah kes berkaitan Covid-19.

Kes aktif meningkat kepada 62,668 selepas Malaysia melaporkan lebih banyak kes baharu berbanding kes pulih sejak dua hari lepas.

Daripada jumlah itu, 51,062 sedang menjalani kuarantin di rumah, 6,124 di pusat kuarantin risiko rendah dan 4,992 sedang dirawat di hospital.

Terdapat 490 pesakit di ICU sekarang, 269 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan. – 5 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen