PRESIDEN Russia Vladimir Putin dan rakan sejawatannya di Amerika Syarikat (AS) Presiden Joe Biden akan mengadakan persidangan video pada Selasa depan.
Kremlin dan Washington berkata ia bagi membincangkan ketegangan yang meningkat di Ukraine.
Agensi berita Russia melaporkan jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata perbincangan itu berlangsung pada waktu petang di Russia dan kedua-dua pemimpin menentukan masa yang sesuai.
White House turut mengeluarkan kenyataan mengesahkan rundingan terbabit di mana kedua-dua pemimpin akan berbincang menerusi rangkaian video.
Setiausaha Akhbar Je Psaki berkata Biden akan membangkitkan kebimbangan AS terhadap aktiviti ketenteraan Russia di kawasan sempadan Ukraine.
“AS sentiasa menyokong kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine,” katanya dalam satu kenyataan.
Washington dan Kiev sebelum ini mendakwa Moscow menempatkan angkatan perang di sempadan Ukraine dan merancang menakluki negara itu.
Bagaimanapun, Russia menafikannya dan mendakwa ia hanya provokasi Barat, susulan latihan ketenteraan di Laut Mati yang dikatakan menjurus ke arah itu.
Moscow menguasai Crimea dari Ukraine pada 2014 dan sejak itu menyokong kumpulan pemisah yang menentang Kiev di timur negara itu yang menyebabkan lebih 13,000 orang terkorban. – AFP, 5 Disember, 2021.
Komen