SEORANG terbunuh manakala berpuluh-puluh lagi cedera dan terpaksa berpindah menyelamatkan diri selepas gunung berapi Semeru di Indonesia meletus semalam.
Dua individu dilaporkan masih hilang dan lapan yang lain terperangkap dalam runtuhan, kata pihak berkuasa.
Lebih 300 keluarga bersama anak masing-masing terpaksa mencari perlindungan selepas kampung mereka Curah Kerobokan di Lumajang, Jawa Timur musnah akibat debu dan lava gunung berapi.
Penduduk di kampung bersebelahan turut panik apabila lava sejuk dan debu melanda kampung mereka, kata pihak berkuasa.
Pasukan penyelamat menemui mayat di Curah Kerobokan.
Pihak berkuasa di Lumajang berkata 41 penduduk mengalami lecur teruk selepas terkena lava panas.
Semua yang tercedera dibawa ke pusat kesihatan dan dirawat di hospital.
Serpihan dan lava sejuk separas lutut menyukarkan pasukan penyelamat mencari penduduk yang hilang dan menyelamatkan lapan mangsa terperangkap dalam bangunan dilitupi lumpur.
Agensi meteorologi Indonesia berkata imej satelit menunjukkan debu gunung berapi itu memasuki Lautan Hindi di bahagian selatan pulau Jawa.
Video dikeluarkan agensi tempatan menunjukkan ramai kanak-kanak melarikan diri ketika Gunung Semeru, yang juga gunung tertinggi di Jawa pada paras 3,676 meter meletus jam 3 petang waktu tempatan semalam.
Status amaran Semeru kekal paras kedua tertinggi sejak letusan besar pada Disember 2020, yang menyebabkan ribuan penduduk meninggalkan rumah masing-masing.
Pada hujung 2018, gunung berapi di selat antara pulau Jawa dan Sumatera meletus, menyebabkan tanah runtuh dan tsunami di dasar laut, mengakibatkan lebih 400 terbunuh. – AFP, 5 Disember, 2021.
Komen