Australia vaksin kanak-kanak 5-11 tahun mulai Januari


Kanak-kanak lima hingga 11 tahun di Australia akan mula menerima suntikan vaksin Covid-19 pada 10 Januari menggunakan Pfizer-BioNTech. – Gambar EPA, 5 Disember, 2021.

AUSTRALIA meluluskan pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, dengan suntikan dijangka bermula 10 Januari ini.

Langkah itu sebagai mengikuti tindakan sama dibuat Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS), Israel dan Kanada.

Menteri Kesihatan Greg Hunt berkata pihak berkuasa kesihatan memberi kelulusan sementara untuk vaksin Pfizer-BioNTech diberikan kepada kanak-kanak.

Hunt berkata vaksinasi 2.3 juta kanak-kanak akan bermula pada 10 Januari, tertakluk kepada kelulusan badan penasihat imunisasi negara.

“Ia disyorkan untuk kanak-kanak di seluruh Australia. Ini bagi memastikan anak kita, keluarga kita dan semua warga Australia selamat,” katanya.

Agensi Kawal Selia Pentadbiran Barangan Terapeutik berkata kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun akan menerima dos vaksin lebih kecil berbanding individu 12 tahun dan ke atas.

Ketua agensi itu, John Skerritt berkata beliau yakin dengan keberkesanan dan keselamatan formula itu.

“Ia sudah diuji secara klinikal secara meluas,” katanya.

Hampir 93% penduduk Australia berumur lebih 16 tahun menerima dos vaksin pertama, dengan 88% populasi menerima dua dos.

Dos penggalak juga diluluskan pada Oktober lalu dan orang ramai digalakkan mengambil suntikan ketiga selepas enam bulan menerima dua suntikan lengkap. – AFP, 5 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen