PERDANA menteri Denmark semalam memohon maaf selepas dirakam membeli-belah tanpa topeng pelitup muka, empat hari selepas kerajaannya menguatkuasakan semula wajib memakai topeng di kawasan tertentu dan ketika menaiki pengangkutan awam.
Video itu yang disiarkan di laman web akhbar Ekstra Bladet dirakam pada Jumaat oleh orang awam di sebuah kedai baju di Copenhagen.
“Ia kesilapan terlepas pandang selepas peraturan baharu dikuatkuasakan,” kata Perdana Menteri Mette Frederiksen di media sosial.
“Saya tahu ia boleh berlaku kepada sesiapa saja. Tetapi tentunya tidak patut saya yang melakukannya.
“Saya sangat kesal dan berterima kasih atas segalanya yang kita lakukan bersama untuk membendung epidemik ini,” katanya.
Insiden itu menambah tekanna kepada Frederiksen yang turut berdepan siasatan jawatankuasa parlimen susulan keputusannya membunuh lebih 15 juta mink (cerpelai) tahun lalu kerana bimbang strain Covid bermutasi.
Arahan itu didapati tidak ada asas undang-undang dan membawa kepada peletakan jawatan seorang menteri.
Jawatankuasa itu pada masa ini menyiasat sama ada Frederiksen tahu yang tidak ada undang-undang membenarkan beliau mengambil tindakan itu.
Parlimen Denmark meluluskan undang-undang segera mengharamkan penternakan mink, memusnahkan satu industri yang menguntungkan.
Denmark selama ini adalah pengeksport terbesar dunia menternak mink untuk mendapatkan bulunya yang halus, dan ia pengeluar kedua terbesar selepas China. – AFP, 5 Disember, 2021.
Komen