Malaysia rampas gelaran juara berpasukan skuasy Asia


Aifa Azman (kanan) mengalahkan Ho Tze Lok 11-4, 11-3, 11-6 untuk memastikan kejuaraan milik Malaysia. – Gambar Facebook, 4 Disember, 2021.

SKUAD wanita negara berjaya merampas kembali gelaran juara kejohanan skuasy berpasukan Asia daripada Hong Kong sekali gus mengesahkan status selaku pasukan terbaik benua ini.

Kejayaan Malaysia menewaskan juara bertahan 2-1 pada aksi final di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini turut menyaksikan Malaysia kekal sebagai pasukan paling banyak meraih gelaran itu dengan kejuaraan kali ke-10.

Malaysia bermula langkah kanan apabila pemain utama negara Rachel Arnold beraksi cemerlang untuk membenam Liu Tsz Ling 11-6, 8-11, 11-7, 11-2.

Hong Kong selaku pasukan kedua paling cemerlang dengan empat kejuaraan, mempamerkan kebangkitan apabila Tong Tsz Wing mengatasi Noor Ainaa Amani Ampandi 11-8, 11-6, 6-11, 11-9 untuk menyamakan kedudukan.

Malaysia bagaimanapun mengesahkan kejuaraan apabila juara Terbuka Malaysia 2021, Aifa Azman mendominasi gelanggang dengan kemenangan mudah menundukkan Ho Tze Lok 11-4, 11-3, 11-6.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Aifa yang berkongsi rasa gembira meraih gelaran itu, mengakui cabaran sengit diterima skuad negara serta sedikit kepenatan selepas baru sahaja menamatkan kejohanan Terbuka Malaysia minggu lalu.

“Rachel bermain dengan baik dan saya tahu Aina juga sudah melakukan yang terbaik. Jadi, saya masuk gelanggang dan tidak mahu memberi peluang kepada Hong Kong. Saya tahu saya perlu bermula dengan permainan yang hebat,” katanya.

Rachel pula berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan hari ini selepas tumpas pada perlawanan menentang pemain Jepun, Satomi Watanabe di separuh akhir semalam.

“Saya kecewa dengan persembahan saya semalam dan saya gembira bermain dengan baik hari ini,” katanya yang gembira Malaysia kembali muncul juara selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 2016. – Bernama, 4 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen