Saingan getir dua nama besar di Batu Kawah bagi PRN Sarawak


Desmond Davidson

DUN Batu Kawah akan menjadi kawasan tumpuan utama pada PRN Sarawak pada 18 Disember kerana dua pemimpin paling popular di negeri itu akan bertembung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2021.

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah akan menjadi kawasan tumpuan utama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Disember kerana dua pemimpin paling popular di negeri itu akan bertembung.

Penyandangnya adalah Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dr Sim Kui Hian dan akan dicabar Ahli Parlimen Kuching Kelvin Yii, yang menjadi wakil rakyat penggal pertama.

Kerusi dengan majoriti Cina itu mempunyai lebih 17,000 pengundi dan SUPP serta DAP cuba mencari sokongan mereka daripada komuniti di negeri itu.

Di peringkat persekutuan, Yii adalah pengerusi jawatankuasa pilihan parlimen mengenai kesihatan, sains dan inovasi manakala Dr Sim adalah menteri perumahan dan kerajaan tempatan negeri.

Parti Sarawak Bersatu (PSB) akan meletakkan ketua masyarakat Liu Thian Leong manakala Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dilaporkan berkira-kira untuk meletakkan bekas Adun DAP Pujut Fong Pau Teck.

Calon parti pro-kemerdekaan, Parti Bumi Kenyalang (PBK) adalah Chai Kueh Khun.

Penganalisis kelihatan berbeza pendapat mengenai keputusan di DUN itu namun bersetuju pertarungan sebenar adalah antara Dr Sim dan Yii.

Ahli Parlimen Kuching Kelvin Yii akan bertanding melawan Presiden SUPP Dr Sim Kui Hian di kerusi DUN Batu Kawah pada PRN Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2021.

Pakar politik Universiti Putra Malaysia Jayum Jawan menyatakan DAP mungkin dihukum kerana membariskan bintang politik muda sedang meningkat mereka dalam usaha menyingkirkan penyandang Dr Sim.

“Saya jangka DAP akan dihukum kerana meletakkan seorang pemimpin popular Cina menentang satu lagi. Kenapa Yii tidak diberikan peluang bertanding di tempat yang mana beliau akan menang?” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jawan berkata dengan meletakkan Yii di kerusi boleh menang, ia boleh memudahkan pengundi Cina di Batu Kawah daripada memikirkan untuk memilih sama ada Dr Sim atau Yii.

“Mereka (orang Cina) boleh mempunyai kedua-dua Sim dan Yii,” katanya.

Dr Sim yang memenangi kerusi itu dengan kelebihan selesa apabila menewaskan calon DAP Christina Chiew Wang See pada PRN Sarawak 2016, muncul sebagai wakil rakyat yang amat disenangi di kerusi itu. – 5 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen