.jpg)
“KITA akan meninggalkan dunia. Itu mungkin makna kehidupan. Tetapi kita menggunakan bahasa. Itu mungkin ukuran kehidupan kita.” – Toni Morrison
Bahasa. Saya telah lama memikirkan tentangnya dan bagaimana ia digunakan dalam wacana politik kita lewat ini.
“Bodoh.” “Tidak bertanggungjawab”. “Menjengkelkan”. “Kebudak-budakan.” “Mementingkan diri sendiri”.
Ini adalah kata-kata yang mengisi tulisan-tulisan yang menanggapi kempen #undirosak beberapa bulan yang lepas.
Kata-kata ini digunakan untuk merujuk kepada mereka yang berada di pinggiran masyarakat Malaysia, yang merenung tentang politik dengan cara yang berbeza, dan mereka yang tidak sama sekali seragam.
Kecaman, membuat rasa bersalah, memperlekehkan, memburukkan, dan peras ugut emosi seolah-olah menjadi satu-satunya respon yang kita tahu dan sudah terbiasa.
Apakah yang memiskinkan jiwa kita sehingga kita tidak mampu memanjangkan kemurahan hati untuk membolehkan kita mendengar suara-suara ini dan memahami kemarahan dan kekecewaan mereka?
Ini satu persoalan yang amat membingungkan.
Dalam mengejar perubahan, kita secara tidak sedar menjadi gergasi keji yang kita benci, gergasi kejam yang kita terpaksa hadapi, gergasi zalim yang kuasanya ingin kita cabar dan hancurkan.
Seorang ahli politik daripada barisan pembangkang ke depan lagi untuk menuntut agar suara-suara yang berbeza ini disiasat kerana “menghasut” rakyat Malaysia untuk merosakkan undi.
Kemarahan terhadap tindakan yang melampaui batas ini sebelumnya hampir tiada.
Apakah yang terjadi kepada pemikiran kritikal? Ke mana hilangnya kejujuran intelektual kita? Bagaimana kita boleh membiarkan bahasa yang menindas yang sedang membinasakan imaginasi kita menyimpang dengan liar?
Tersentak oleh budaya politik toksik dan melemaskan ini, persoalan-persoalan ini terus bermain di fikiran.
Apabila kita terpaksa mengendong beratnya beban sebuah negara yang diselubungi peminggiran yang terus berkekalan, ketidaksamarataan yang kian melebar, dan kebencian kaum dan agama yang meracuni, adalah menjadi tuntutan agar perubahan dilaksanakan.
Ini adalah suatu yang pasti. Suara-suara membangkang yang sedang diserang ganas ini telah menimbulkan pelbagai isu dan membangkitkan pelbagai persoalan berkenaan idea perubahan yang perlu ditangani.
Berdepan dengan kebuntuan politik yang kita hadapi hari ini, telah sampai masa kita bertanyakan soalan-soalan yang sebenar.
Ursula K. Le Guin, seorang tokoh sastera yang meninggal dunia minggu lepas berkata: “Tidak ada jawapan yang benar kepada soalan yang salah.”
Oleh demikian, mengajukan soalan yang benar pada masa yang mencabar ini adalah satu keperluan.
Soalan-soalan yang jarang kita tanyakan dan sepatutnya mula ditanya dalam kebingitan yang menghimpit ini adalah: Apakah makna perubahan? Apa yang perlu diubah? Apakah bentuk perubahan yang kita inginkan? Bagaimana kita melaksanakan perubahan ini?
Bagaimana kita melaksanakan pemberdayaan setiap ahli masyarakat, terutamanya golongan terpinggir dalam kalangan kita untuk menjadi sebahagian daripada perubahan ini?
Bagaimana kita memberi makna kepada ungkapan “kuasa rakyat”?
Bagaimana kita melepaskan kebergantungan pada golongan elit politik daripada kedua-dua belah pihak agar mereka tidak lagi menjadikan kita sebagai mangsa tebusan sebagaimana sering mereka lakukan?
Bertanyakan soalan yang benar bukanlah sesuatu yang bersifat akademik dan amatlah tidak adil jika ia dianggap sedemikian.
Ia tidak akan segera membawa kita kepada semua jawapan yang kita perlukan tetapi ia sudah pasti akan membantu kita dalam mencari semua jawapan itu dalam kita melalui proses pencarian tersebut.
Bertanyakan soalan yang benar membolehkan kita memahami isu-isu yang ada, mengungkap akar permasalahan, dan membezakan antara perubahan yang sebenar, bermakna, dan merangkumi dengan ilusi perubahan.
Ia juga akan mengawal perlakuan kita agar kebaikan berpeluang untuk bernafas dan kejahatan, sedikit atau banyak sentiasa dicabar dan tidak diterima sebagai kebiasaan.
Menjalani proses ini amatlah penting ketika kejahatan sudah menjadi kebiasaan sehinggakan kita sering menolak betapa pentingnya untuk kita tetap berpegang kepada perjuangan yang getir untuk membangunkan sebuah negara yang adil, dan di mana perjuangan ini sering disamakan dengan mimpi utopia.
Tiada sesiapa yang dapat menuntut kesempurnaan kerana ia tidak mungkin.
Bagaimanapun ini tidak membebaskan kita daripada tanggungjawab untuk menetapkan dan mempertahankan tingkat moral tertentu yang akan memastikan kebaikan – suatu gagasan yang sudah menjadi terlalu asing sehingga dianggap hanya ilusi.
Terlalu idealistik dan tidak realistik, kata sesetengah mereka.
Sekiranya kita mampu menjadikan keperluan untuk memilih yang kurang jahat antara dua kejahatan begitu berharga seolah-olah ia satu-satunya kemungkinan dan pilihan yang berupaya kita imaginasikan, apakah yang menghalang kita daripada berusaha untuk mengimaginasikan kebaikan yang lebih besar untuk turut diberikan ruang untuk wujud bersama?
Perubahan juga merangkumi usaha-usaha untuk membina kesedaran kritikal. Usaha ini adalah penting dalam mengukuhkan kuasa rakyat yang akan memastikan kezaliman dan ketidakadilan sentiasa dihadapi dan dicabar.
Menggunakan bahasa yang menindas dalam menangani suara-suara membangkang akan menutup ruang wacana intelektual dan menghalang keperluan mendesak untuk membina kesedaran kritikal dalam masyarakat.
Ia juga akan terus mengukuhkan budaya politik toksik yang terus kuat berakar dalam kalangan masyarakat.
Bahasa mempunyai kuasa untuk menindas dan juga memberdaya. Membiarkan penggunaan bahasa yang menindas tanpa dicabar dalam wacana politik akan membawa kepada matinya imaginasi – suatu tragedi bencana yang kita semua perlu berusaha untuk hindari. – 1 Februari, 2018.
* Fadiah Nadwa Fikri adalah seorang penggerak Malaysia Muda.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen