Keterangan wanita dedahkan kegagalan kerajaan untuk melindungi, kata hakim tribunal


Hailey Chung Wee Kye

Tribunal Wanita Malaysia dimulakan dan dianjurkan oleh Kumpulan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Jantina. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2021.

HAKIM Tribunal Wanita Malaysia yang julung kali ditubuhkan menyatakan 26 wanita yang memberi keterangan minggu lalu mengalami pencabulan hak yang amat serius.

Mereka secara kolektif bersetuju walaupun pelanggaran adalah kontekstual mengikut setiap cerita, ia menunjukkan kegagalan kerajaan untuk melindungi kaum wanita.

“Apa yang biasa bagi mereka adalah kekurangan pematuhan kepada jaminan perlembagaan yang terlalu meluas mengenai kesaksamaan dan tanpa diskriminasi,” kata Mary Shanthi Dairiam, salah seorang hakim.

Bekas anggota jawatankuasa PBB mengenai penghapusan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita (CEDAW) itu merujuk kepada Artikel 8.1 dan 2 Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu, tiada pengiktirafan terhadap asas Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan doktrin struktur asas,” katanya.

Wanita yang terbabit dengan pelbagai pelanggaran dan pencabulan hak asasi manusia memberikan keterangan mereka pada 26 dan 27 November.

Mereka bercakap di Tribunal Wanita Malaysia yang dimulakan dan dianjurkan oleh Kumpulan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Jantina bersama-sama Perundingan Engender.

Ia di hadapan hakim tribunal Shanthi, pengasas bersama Sisters in Islam (SIS) Zainah Anwar dan ahli bersekutu program Undi18 Nadia Malyanah.

“Masalah itu berpunca daripada budaya politik dan norma sosio-budaya lazim yang mengabaikan nilai dan prinsip asas ini,” kata Shanthi.

Beliau melahirkan rasa kesal terhadap keadaan ketika Malaysia menerima CEDAW pada 1995.

Beliau berkata, keadilan tidak diberikan kepada wanita ini seperti kes Indira Gandhi yang cuba mendapatkan semula anaknya yang diculik daripada bekas suaminya lebih 12 tahun, serta pembantu rumah Adelina Lisao yang meninggal dunia akibat kegagalan organ akibat kecuaian majikannya.

“Pencapaian kesaksamaan untuk wanita mestilah substantif.

“Ia bukan sahaja memerlukan kesaksamaan undang-undang formal, seperti yang diperuntukkan dalam perkara 8.1 Perlembagaan tetapi juga menuntut kesamarataan keputusan secara sebenar.

“Dalam erti kata lain, realisasi praktikal hak sama rata,” beliau merujuk kepada artikel CEDAW 2a.

Shanthi juga berkata, kumpulan wanita yang berbeza menghadapi pelbagai bentuk diskriminasi.

Oleh itu, pendekatan kontekstual, persilangan dan kepelbagaian untuk penghapusan diskriminasi adalah penting. – 4 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen