Berhenti bersikap seperti pelampau PAS, kata Guan Eng kepada Boo


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh tidak melakukan kesalahan dengan memakai tudung di masjid.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2021.

PEMIMPIN Kanan DAP Johor Dr Boo Cheng Hau tidak seharusnya taksub dengan pakaian yang dipakai oleh pemimpin wanita DAP ketika mengunjungi masjid atau tempat ibadat, kata Lim Guan Eng hari ini.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, Boo, yang merupakan ahli jawatankuasa DAP negeri Johor, hanya perlu memberi tumpuan kepada isu-isu yang mengutamakan rakyat seperti harga barang keperluan asas yang melambung tinggi sekarang.

“Bagi seorang pemimpin lelaki DAP menjadikan pakaian dipakai ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh ketika mengunjungi masjid sebagai satu masalah tidak ada bezanya dengan pemimpin PAS yang ekstremis dan primitif yang mahu mengawal apa yang boleh atau tidak boleh dipakai oleh wanita.

“Ini bukan sahaja tidak sensitif jantina tetapi juga menunjukkan bahawa kita sama tidak bertoleransi dan regresif seperti pemimpin ekstremis PAS,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Bagan itu mengeluarkan teguran itu selepas Boo mengecam Yeoh kerana bertudung ketika melawat masjid.

Lim berkata Yeoh tidak melakukan kesalahan dengan bertudung, sebaliknya harus dipuji dan bukannya dikritik.

“Adakah memakai serban atau penutup kepala ketika melawat kuil Sikh menerima kritikan yang sama? Malangnya, kritikan yang tidak wajar oleh seorang pemimpin negeri telah memberi kesan buruk kepada seluruh parti.

“Menunjukkan rasa hormat kepada agama lain di tempat ibadat agama itu tidak boleh dianggap sebagai meninggalkan kepercayaan kita sendiri. Ia juga tidak boleh dilihat sebagai tindakan memenangi hati. Malah perlu wujud sikap saling hormat menghormati dan bertolak ansur dalam masyarakat berbilang kaum untuk menggalakkan perpaduan dalam kepelbagaian,” kata Lim.

Beliau berkata Boo, yang merupakan bekas ketua DAP Johor, harus tumpukan untuk memberi tekanan kepada kerajaan bagi menyuntik RM3 bilion dalam Dana Penstabilan Harga Barang Nasional bagi mengekang kenaikan harga barang keperluan.

Boo mengkritik Yeoh dalam kumpulan WhatsApp parti, lapor Malaysiakini.

“Mungkin semua wakil wanita kita harus memakai tudung bukan sahaja di masjid tetapi di seluruh tempat seperti di pasar awam, gereja, sekolah dan sebagainya.

“Lebih bagus, semua orang perlu memeluk Islam. Kemudian kita akan pasti memenangi Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang. Apa kata anda semua?” Boo dipetik sebagai berkata. 

 Sementara itu, Yeoh menerusi Twitternya berkata beliau tidak menyesal dengan keputusan untuk bertudung di masjid.

“Memakai selendang (tudung) ketika mengunjungi masjid tidak mengubah bangsa dan kepercayaan saya.

“Kasihilah sesamamu seperti kamu mengasihi dirimu sendiri. Lakukanlah kepada orang lain sebagaimana kamu ingin mereka perbuat kepadamu,” katanya. – 4 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen