Kerajaan perlu proaktif tangani kenaikan harga barang


ISU kenaikan harga barang benar-benar mengejutkan sebahagian besar masyarakat susulan aktiviti ekonomi yang baru sahaja bergerak semula, dan dalam proses pemulihan ekoran penularan wabak Covid-19.

Sebahagian besar rakyat pastinya terkesan dengan peningkatan mendadak harga barang. Walaupun pelbagai alasan seperti keadaan cuaca yang tidak menentu diberikan namun masih tidak menyelesaikan sebarang permasalahan yang dihadapi.

Kenaikan harga barang ini bukan sahaja meresahkan pengguna, malah turut memberi kesan kepada peniaga dan pemborong kerana golongan ini membeli secara pukal dan mereka berisiko menanggung kerugian jika berlaku lambakan barangan yang tidak terjual.

Perkara yang lebih meresahkan berikutan kenaikan harga barang ketika ini ialah bagaimana dengan nasib kanak-kanak untuk golongan miskin tegar di bandar dan luar bandar? 

Pelbagai program perlu dirangka dengan kadar yang segera yang hanya memfokuskan kepada perkembangan awal kanak-kanak ini demi memastikan mereka terus dapat menikmati sumber makanan berkhasiat.

Kerajaan perlu memastikan agensi-agensi berkaitan mengawal selia pemasaran dan pengagihan barangan dengan lebih ketat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 untuk terus memelihara hak pengguna serta memastikan tiada sesiapa yang mengambil kesempatan dengan memonopoli harga di dalam pasaran.

Kerajaan juga perlu meneliti semula dasar terhadap sekuriti makanan yang sedia ada supaya ia bergerak dengan lebih inklusif dan holistik. Ia perlu dirangka dalam perancangan pembangunan ekonomi negara. – 4 Disember, 2021.

* Farhash Wafa Salvador, setiausaha politik Anwar Ibrahim merangkap pengerusi Majlis Pimpinan PKR Perak.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen