Penembak pasar raya Colorado diarah jalani rawatan mental sebelum dibicara


Seramai 10 individu maut dalam serangan tembakan rambang di pasar raya Colorado pada Mac lalu. – Gambar EPA, 4 Disember, 2021.

LELAKI yang didakwa membunuh 10 orang dalam serangan tembakan di pasar raya Amerika Syarikat (AS) tidak berada dalam keadaan sihat untuk menjalani perbicaraan, lapor media pada Jumaat.

Ahmad Alissa, 22, kelahiran Syria, dituduh menembak mati mangsanya secara rambang di sebuah pasar raya Colorado pada Mac.

Dia berdepan lebih 100 pertuduhan jenayah, termasuk 10 pembunuhan darjah pertama, berkaitan tembakan beramai-ramai, yang mana dia mahupun pendakwa tidak mengemukakan sebarang motif.

Ketua Hakim Daerah Boulder Ingrid Bakke memutuskan pada Jumaat bahawa Alissa perlu menjalani rawatan kesihatan mental sebelum kes terhadapnya dapat diteruskan, lapor Denver Post.

Akhbar itu berkata tiada butiran diberikan di mahkamah tentang keperluan kesihatannya, tetapi peguamnya berkata ia adalah “penyakit mental yang serius.”

Abang Alissa, Ali sebelum ini pernah berkata adiknya “paranoid” dan “antisosial.”

Alissa dimasukkan ke hospital sebentar selepas ditembak di kaki oleh polis ketika serangan itu.

Seorang anggota polis, yang merupakan individu pertama sampai di tempat kejadian, adalah antara yang terkorban.

Colorado tidak asing dengan keganasan seperti itu, pernah berlaku dua insiden tembakan beramai-ramai yang paling terkenal dalam sejarah AS.

Pada 1999, dua budak lelaki menembak dan membunuh 12 rakan sekelas dan seorang guru di Sekolah Tinggi Columbine. Penembak mati akibat bunuh diri.

Kemudian pada 2012, seorang lelaki bersenjata lengkap menyerbu panggung wayang di Aurora, membunuh 12 individu. 

Lelaki bersenjata itu kini menjalani hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol.

Menurut data Gun Violence Archive, kumpulan penyelidik bukan partisan, daripada lebih 19,000 kematian akibat senjata api setakat tahun ini, lebih 650 membabitkan insiden serangan tembakan.

Minggu ini seorang budak lelaki berusia 15 tahun dituduh menggunakan pistol bapanya untuk menembak mati rakan sekelas berhampiran Detroit, Michigan.

Insiden sebegini sering mencetuskan kemarahan negara dan menggesa kawalan senjata lebih ketat.

Tetapi di sebalik sokongan meluas untuk sekatan lebih ketat, gesaan itu biasanya gagal, kerana pihak menentang langkah itu berkata ia akan menjejaskan hak perlembagaan. – AFP, 4 Disember, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen