Uttar Pradesh dikecam salahkan Pakistan punca pencemaran udara


New Delhi dan Uttar Pradesh diarah ambil tindakan segera terhadap industri yang mencemarkan dan mengurangkan pelepasan asap kenderaan untuk meningkatkan kualiti udara. – Gambar EPA, 4 Disember, 2021.

NEGERI Uttar Pradesh di India dikecam hebat selepas memaklumkan kepada sebuah mahkamah yang Pakistan bertanggungjawab terhadap masalah pencemaran udara yang semakin teruk di negeri itu.  

Negeri di utara yang bersempadan dengan New Delhi itu memberitahu mahkamah, pihak industrinya tidak menyebabkan pencemaran udara sebaliknya ia disebabkan udara kotor dari Pakistan.

“Adakah anda mahu kami mengharamkan industri Pakistan?” Soal Ketua Hakim Negara N.V. Ramana kepada peguam yang mewakili kerajaan Uttar Pradesh.

Mahkamah Agung pada Khamis mengarahkan pihak berkuasa di New Delhi dan negeri jirannya mengambil tindakan segera terhadap industri yang mencemarkan dan mengurangkan pelepasan asap kenderaan untuk meningkatkan kualiti udara.

Meskipun wujud tuduh menuduh mengenai penyebab pencemaran udara di negeri Punjab India dan Wilayah Punjab Pakistan, perlakuan Uttar Pradesh itu dilihat suatu yang pelik ketika cuba melepaskan diri daripada tuduhan menyebabkan udara bertoksid untuk New Delhi.

Kawasan metropolitan New Delhi merangkumi negeri Uttar Pradesh dan kawasan perindustrian Haryana serta beberapa bandar raya komersial seperti Noida, Ghaziabad, Gurugram dan Faridabad.

Selain daripada loji janakuasa arang batu, pencemaran industri dan pelepasan asap pengangkutan di kawasan kejiranan New Delhi, pembakaran sisa tanaman di Punjab juga antara faktor penyumbang kepada pencemaran udara di New Delhi. – Bernama, 4 Disember, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen