Ujian terkini kes indeks Omicron disah negatif, kata KP kesihatan


Raevathi Supramaniam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ujian RT PCR terbaharu yang dijalankan terhadap gadis 19 tahun kes pertama Omicron negara dan tujuh kontak rapatnya dilaporkan negatif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2021.

UJIAN tindak balas rantai polimerase (PCR) ke atas pelajar Afrika Selatan yang dijangkiti varian Omicron di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilaporkan negatif, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan berkata ujian PCR ke atas semua tujuh kontak rapat gadis 19 tahun itu juga negatif.

“Terkini dari negeri Perak. Kesemua lapan sampel ujian RT PCR hari ini adalah negatif iaitu kes indeks Omicron pertama dalam negara (Afrika Selatan) dan 7 kes kontak rapat iaitu pemandu, pekerja universiti, tiga rakan pelajar universiti (2 Ghana dan 1 India) serta 2 rakan sebilik,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Awal hari ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kes pertama varian Omicron Covid-19 telah dikesan di Malaysia.

Beliau berkata gadis yang dijangkiti varian Omicron itu pulang ke negara asalnya untuk mengunjungi keluarga dan balik semula ke Malaysia melalui Singapura.

Menurut Khairy, pelajar kolej swasta di Ipoh itu tidak mengalami apa-apa gejala ketika kesnya dikesan di KLIA dan sudah melengkapkan vaksinasi sejak September.

Seramai lapan orang yang terdiri daripada tiga pelajar, dua rakan serumah, seorang pemandu bas dan seorang kakitangan universiti juga menjalani kuarantin, katanya.

Khairy berkata pelajar itu memasuki Malaysia pada 19 November sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Omicron sebagai varian membimbangkan (VOC) pada 24 November.

Malaysia kini melarang kemasukan dari lapan negara Afrika, iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.

WHO telah memberi amaran varian Omicron boleh menimbulkan risiko yang sangat tinggi.

Menurut WHO, varian B.1.1.529 pertama kali dilaporkan dari Afrika Selatan pada 24 November. – 3 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen