Australia lapor kes pertama Omicron jangkitan tempatan


Australia yakin dapat membendung penularan varian Omicron dengan 87% populasi berumur lebih 16 tahun sudah divaksin. – Gambar EPA, 3 Disember, 2021.

AUSTRALIA pada Jumaat melaporkan seorang pelajar tanpa sejarah perjalanan ke luar negara diuji positif varian Covid-19 Omicron, kes penularan komuniti pertama yang dikesan di negara itu.

Kes yang dikesan di Sydney, berlaku walaupun terdapat larangan bagi bukan warganegara memasuki negara itu dan sekatan ke atas penerbangan dari Afrika Selatan, tempat varian itu mula-mula dikesan.

Pihak Kesihatan New South Wales berkata “kes itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau kaitan dengan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara” tetapi menegaskan siasatan lanjut dan pengesanan kenalan sedang dijalankan.

Australia mengesan sembilan kes Omicron lain, tetapi semuanya dikesan di kalangan pengembara yang masuk.

Kes terbaharu ini menimbulkan kemungkinan yang Omicron mungkin sudah merebak dengan lebih meluas dalam masyarakat.

Sekolah pelajar itu, Kristian Regents Park di barat Sydney ditutup dan keluarga dikatakan sedang menjalani kuarantin.

Australia kini merekodkan kira-kira 2,000 kes Covid-19 sehari.

Selain vaksinasi, penyebaran virus terhad susulan penutupan sempadan selama dua tahun, sekatan, ujian dan pengesanan agresif serta larangan perjalanan tempatan.

Pihak berkuasa yakin dengan 87% populasi berumur lebih 16 tahun sudah divaksin, negara berada pada kedudukan yang baik untuk menangani varian baharu itu.

Kadar kemasukan ke hospital pada masa ini rendah, dan jumlah kematian akibat pandemik berjumlah 2,021.

Keseriusan Omicron belum diketahui dan ia juga tidak jelas sama ada boleh menyebabkan vaksin sedia ada kurang berkesan.

Tetapi terdapat kebimbangan varian mungkin lebih mudah berjangkit berbanding strain Delta yang dominan. – AFP, 3 Disember, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen