KKM rekod 47 kematian baharu Covid-19


Hailey Chung Wee Kye

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 47 kematian baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam yang lalu dan kesemuanya melibatkan kes tertunggak.

Ini adalah penurunan daripada 49 kematian yang dilaporkan sehari sebelumnya.

Negara kini merekodkan sejumlah 30,521 kematian sejak permulaan wabak.

Menurut data KKM yang disiarkan di GitHub, 12 daripada 47 kes diklasifikasikan kematian di luar hospital. 

KKM memperoleh angka harian daripada jumlah kematian yang dilaporkan pada hari tertentu, termasuk kes tertunggak yang baharu disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan selepas menyelesaikan siasatan klinikal mereka.

Selangor terus mencatatkan jumlah kematian tertinggi sebanyak 9 kes, diikuti Kelantan, Perak dan Sabah masing-masing 6.

Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kematian baharu semalam ialah Pulau Pinang dan Terengganu (5), Kuala Lumpur (3), Johor (2) dan masing-masing satu di Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak dan Labuan.

Tiada kematian direkodkan di Pahang, Perlis dan Putrajaya.

Menurut laman web CovidNow, purata nasional bagi kematian koronavirus bagi setiap sejuta penduduk dalam tempoh dua minggu ialah 16 kematian, dengan Terengganu mendahului carta sebanyak 49 kematian bagi sejuta penduduk. – 3 Disember, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen