20,000 pendatang asing dapat vaksin jasa PBSM, NGO


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ramai pekerja asing tanpa izin bimbang ditangkap jika hadir ke PPV kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2021.

INDIVIDU tanpa dokumen antara sebahagian besar daripada 20,000 pendatang asing yang berjaya menerima vaksin Covid-19, menurut Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

Jurucakapnya memberitahu The Malaysian Insight, usaha digerakkan sejak awal September lalu itu kerana pendatang tersebut takut ditangkap jika hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kerajaan.

“Pendatang tanpa izin dan pelarian ini akan lebih selesa jika ke PPV dikendalikan NGO yang pernah memberi perkhidmatan kesihatan.

“Dengan ini, mereka tidak akan takut untuk datang ke PPV untuk divaksinasi. Begitulah kami dapat memberikan lebih 20,000 vaksin kepada warga asing sehingga hari ini,” katanya.

Kumpulan pendatang tersebut bimbang ditangkap pihak berkuasa yang berkeras agar pendatang asing menyerah diri sebelum dibenarkan menerima vaksin.

Majoriti pendatang tanpa dokumen itu dari Indonesia, Myanmar, Somalia, Yaman, Afghanistan, Bangladesh, Nepal, Thailand, Cambodia, Filipina, India, Sri Lanka, Pakistan, Iraq, Syria, Palestin dan Iran.

Kumpulan pelarian yang menerima vaksin pula terdiri dari warga Indonesia, Somalia, etnik Rohingya, Bangladesh, Nepal dan Vietnam.

Turut menerima vaksin pelarian dari etnik Chin, Kachin, Karen, Mon, Zomi, Falam, Shan, Kachin dari Myanmar, katanya.

Menurutnya, usaha dijalankan bersama NGO My Journey itu mencabar kerana perlu mendapatkan senarai nama yang tepat terutama bagi golongan tanpa dokumen.

“Kebiasaannya, seorang pemimpin komuniti akan membuat kerja dasar untuk memastikan bilangan ahli komuniti mereka yang memerlukan vaksin.

“Proses ini yang biasanya memakan masa dan senarai nama itu akan membuahkan hasil sekiranya individu yang dipertanggungjawabkan untuk mengumpul nama itu seorang yang dikenali dan dipercayai di kalangan komuniti masyarakat warga asing,” katanya.

Selain PPV, aktivis ini turut mengadakan lawatan vaksinasi ke rumah kongsi dan menjalankan vaksinasi di bawah pokok kelapa, kawasan terbuka dan surau.

Dalam usaha ini, Our Journey yang rapat dengan warga asing berperanan memperkenalkan PBSM kepada penghuni di rumah kongsi ini.

“Kebiasaannya penjarakan sosial agak sukar dijalankan di kawasan rumah kongsi dan kami perlu menggunakan apa saja ruang yang ada untuk mengadakan proses vaksinasi,” katanya.

“Kami bersyukur kerana sukarelawan kami cepat menyesuaikan diri dengan keadaan dan akan bekerja di persediaan yang tidak konvensional,” katanya.

Menurut jurucakap itu, mereka juga sukar berkomunikasi dengan warga asing yang bertutur dalam pelbagai bahasa.

“Disebabkan itu, kami sering mendapatkan sukarelawan daripada komuniti berbeza sebagai penterjemah untuk membantu doktor dan di ruang pemerhatian selepas mendapatkan vaksin,” katanya.

Pengarah Our Journey Sumitha Shaanthinni Kishna pula bersyukur kerana warga asing dan pemimpin mereka bekerjasama untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin.

“Pada peringkat awal, kami menghadapi masalah untuk mendaftarkan warga asing yang tidak memiliki dokumen rasmi untuk berdaftar dalam sistem MySejahtera.

“Namun, lama kelamaan kami berjaya menyelesaikannya dengan melakukan pendaftaran dengan pengenalan diri dari negara asal, kad komuniti atau mencipta ID yang boleh diterima oleh pihak berkuasa,” katanya

Menurut Sumitha, mereka juga menyediakan pengangkutan kepada kumpulan warga asing yang bimbang ditangkap pihak berkuasa sewaktu melakukan perjalanan ke PPV. – 3 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen